Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Inkues pelajar gantung diri curi telefon guru,24 Mei

30 MAC: Mahkamah Koroner Pulau Pinang hari ini menetapkan 24 hingga 25 Mei ini untuk prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar tingkatan dua, M.Vasanthapiriya, yang menggantung diri selepas dituduh mencuri telefon gurunya.

Koroner Norsalha Hamzah menetapkan tarikh tersebut ketika kes itu ditetapkan untuk sebutan hari ini.

Inkues akan dibantu oleh pegawai pengendali J.G.Kameni manakala peguam V. Parthipan mewakili guru terbabit.

Parthipan berkata seramai 30 saksi dijangka memberi keterangan pada prosiding itu.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Kamarozaman Abd Razak berkata pihaknya hadir di mahkamah hari ini bagi memberi sokongan kepada guru tersebut.

“Guru-guru mesti bersatu hati membentuk murid tetapi jika terjadi isu-isu sebegini jangan putus asa, Ia satu cabaran kepada guru.

“Kita tak mahu guru jadi putus asa… rakan-rakan kita perlukan sokongan moral dan mungkin mereka sudah murung dan berada dalam tekanan,” katanya kepada media.

Kamarozaman berkata masyarakat perlu memahami bahawa tugas seorang guru sekarang sangat rumit ditambah lagi perlu berdepan dengan kerenah ibu bapa yang pelbagai.

Vasanthapiriya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya pada 3.35 pagi, 1 Februari lalu selepas tidak sedarkan diri akibat menggantung diri di rumahnya.

Mendiang dikatakan berbuat demikian selepas dituduh mencuri telefon pintar milik seorang guru wanita di sekolahnya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 March 2018 5:43 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: