Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Insiden berebut kad bantuan teksi 1Malaysia, 30 cedera

13 APRIL: 30 pemandu teksi mengalami kecederaan ringan ketika berebut bagi mendapatkan kad bantuan teksi 1Malaysia petang tadi.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan memaklumkan pemandu-pemandu yang terlibat telah menerima rawatan serta-merta, manakala seorang lagi individu telah mengalami kecederaan dan terpaksa dibawa ke hospital bagi menerima rawatan selanjutnya.

“SPAD akan menanggung kos perubatan bagi individu tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan sebahagian pemandu teksi Malaysia pada Majlis penyampaian Kad Bantuan Teksi 1Malaysia di Maeps, Serdang

“Anggota penguatkuasaan SPAD, PDRM dan RELA telah mengambil tindakan serta-merta untuk mengawal keadaan dan pada jam 7.00 malam keadaan sudah terkawal.

“Insiden yang tidak diingini ini telah berlaku akibat segelintir para hadirin yang tidak mematuhi langkah-langkah pengurusan kawalan sistematik yang disediakan apabila mereka masuk ke dewan pengambilan kad,” menurut kenyataan itu.

Seramai 12,000 pemandu teksi telah hadir dan didapati sebahagian besar pemandu-pemandu teksi tersebut telah memberikan kerjasama ketika beratur untuk mengambil kad tersebut.

Sebanyak 60 kaunter pengurusan pendaftaran dan sistem ‘queue’ untuk pengambilan kad telah disediakan.

“SPAD ingin mengesyorkan para pemandu teksi di seluruh negara yang masih belum menerima Kad Bantuan Teksi 1Malaysia, bahawa kad tersebut boleh diperolehi di pejabat-pejabat SPAD di seluruh negara (kecuali Ibu Pejabat di Kuala Lumpur), iaitu di Kelana Jaya, Pulau Pinang, Kuala Terengganu dan Johor Bahru mulai hari Isnin, 16 April 2018 sehingga 16 Julai 2018.

“Manakala bagi cawangan SPAD di Melaka, UTC Ipoh, UTC Alor Setar, UTC Kota Bahru dan UTC Kuantan, kad tersebut boleh diperolehi bermula dari Selasa 17 April, 2018 sehingga 16 Julai 2018.

“Bagi para pemandu di Sabah dan Sarawak, mereka boleh mendapati Kad Bantuan Teksi 1Malaysia daripada LPKP Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak. Tarikh akan dimaklumkan oleh pejabat LPKP Sabah dan Sarawak,” kata kenyataan itu lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai proses koleksi sila layari www.spad.gov.my/ms/pengusaha-kenderaan/teksi/kad-bantuan-teksi-1malaysia.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis bersama pemandu teksi di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), mengumumkan sejumlah 67,000 pemandu teksi  seluruh negara akan menerima Kad Bantuan Teksi 1Malaysia dimana kad tersebut mengandungi nilai sebanyak RM800.

Pemberian tersebut adalah berikutan kos bahan api yang merupakan satu komponen utama dalam pengoperasian teksi.

Berikutan itu pada 14 Mac lalu, jelas Najib lagi kerajaan telah memutuskan untuk memberi bantuan khas tersebut bagi menghargai peranan pemandu teksi sebagai penyedia perkhidmatan sistem pengangkutan awam darat negara.

Selain itu jelas Najib pemandu teksi turut mendapat kemudahan lain di bawah program kesetiaan Mesra (Petronas) termasuk perlindungan insurans kemalangan peribadi sehingga RM50,000.

Dalam pada itu kerajaan turut memutuskan yang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) akan diberi kepada pemandu teksi yang sebelum ini dikatakan tidak layak menerima bantuan tersebut.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 April 2018 11:24 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: