Kategori Berita Antarabangsa

Iran desak parlimen luluskan segera perjanjian nuklear

2 OGOS : Timbalan Menteri Luar Iran menggesa parlimen negara itu mempercepatkan kelulusan perjanjian nuklear dengan 6 kuasa besar dunia agar  sebarang kegagalan perjanjian itu jika berlaku dapat dipersalahkan kepada pengubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) yang mungkin menolaknya.

iran oilKomen Abbas Araghchi dibuat pada kala Setiausaha Negara AS, John Kerry dan anggota pasukan perunding nuklear negara itu berhadapan soal siasat anggota kongres AS, dua minggu selepas kajian rundingan 60 hari itu di Washington.

Proses sama berlaku di parlimen Iran di mana segelintir anggota parlimen berhujah bahawa rundingan itu menjejaskan program nuklear Iran.

Perjanjian Iran dan 6 negara kuasa dunia diketuai AS yang dipersetujui Julai lalu perlu mendapat kelulusan jawatankuasa keselamatan tertinggi Iran dan parlimen negara itu sebelum dapat dilaksanakan.

“Kita perlu mengumumkan pendapat kita seberapa segera, jadi sekiranya kongres (AS) menolak perjanjian itu maka beban kegagalan rundingan akan terletak di pihak kongres.

“Jika itu berlaku maka Iran tidak akan mengalami sebarang kerugian dan dapat kembali meneruskan program asal.

“Seluruh dunia juga akan berkata bahawa Iran melakukannya menerusi proses undang-undang yang meluluskan perjanjian itu namun kongres (AS) yang memusnahkan keseluruhannya,” kata Abbas.

Kerry pula menyatakan bahawa kredibiliti AS di peringkat dunia akan tercalar jika kongres AS yang didominasi parti republikan menolak perjanjian yang menafikan keupayaan pemilikan bom atom di pihak Iran.

Dalam pada itu, Iran dijangka meningkatkan pengeluaran minyak mentahnya sehingga 500,000 tong sehari dalam tempoh beberapa hari jika perjanjian itu diluluskan.

Iran juga dijangka meningkatkan pengeluaran sehingga 1,000,000 tong minyak mentah sehari dalam tempoh setahun untuk kembali ke paras asal iaitu antara 3.8 dan 3.9 juta tong sebelum dikenakan sekatan.

“Kami telah menghantar surat kepada OPEC memberitahu bahawa sekatan sedang ditarik balik sekaligus kami akan mengeksport minyak mentah dengan kemampuan asal.

“Kami tidak meminta kebenaran sesiapa untuk mendapatkan hak kami kembali,” kata Menteri Minyak Iran, Bijan Zanganeh.

Perkembangan terbaru ini sekaligus akan menjadikan pasaran harga minyak mentah dunia terus berada dalam keadaan rendah.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 2 August 2015 6:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: