Kategori Berita Utama

Isa letak jawatan Pengerusi FGV, dilantik memangku Pengerusi SPAD

19 JUN: Tan Sri Isa Samad meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) berkuat kuasa hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perladangan itu berkata, Isa telah “meletakkan jawatan yang dilantik oleh kerajaan untuk memberi tumpuan kepada urusan peribadinya.”

Isa kini akan memangku tugas pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), jawatan yang dikosongkan selepas persaraan Tan Sri Syed Hamid Albar pada 3 Jun lalu.

Isa dilantik sebagai Pengerusi FGV pada 1 Januari 2011.

Isa terdahulu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya pagi tadi, dipercayai mempunyai kaitan dengan pengumuman penting mengenai isu FGV, yang dijangka dilakukan pada petang ini.

Terdahulu, laporan Berita Harian yang memetik sumber melaporkan, kedudukan Isa serta Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad dalam FGV akan ditentukan hari ini.

Akhbar itu yang memetik sumber juga melaporkan, Pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob disebut sebagai individu yang akan menggantikan tempat Isa sebagai Pengerusi FGV dalam rombakan yang dilakukan terhadap syarikat perladangan itu.

Peletakan jawatan Isa itu menyusul selepas FGV berdepan kemelut yang menyaksikan empat pegawai kanan agensi perladangan itu, termasuk Zakaria, diarahkan bercuti berkuat kuasa serta merta, dua minggu lalu.

Arahan bercuti itu dikatakan bagi memberi laluan audit dalaman dijalankan bagi menyiasat tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, sebuah anak syarikat FGV.

Selain Zakaria, tiga lagi yang dipaksa cuti adalah Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 June 2017 2:49 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]