Kategori Berita Utama

Isa Samad dengan rela hati lepaskan jawatan

19 JUN: Tan Sri Isa Samad melepaskan jawatan Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dengan rela hati.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara itu dinyatakan Isa dalam pertemuan dengannya di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pagi tadi yang turut disertai bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

“Isa rela hati lepaskan jawatan sebagai Pengerusi FGV, tempatnya akan diganti Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku Pengerusi FGV yang baharu berkuat kuasa serta merta.

“Bagi menghargai peranan Tan Sri Isa dalam FGV, kita setuju lantik beliau sebagai pemangku Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berkuat kuasa serta merta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) hari ini.

Selain itu Najib berkata, tindakan dalaman juga akan diambil untuk menentukan proses keadilan terhadap apa yang berlaku terhadap Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk Zakaria Arshad dan tiga yang lain sebelum ini.

“Lembaga Pengarah FGV juga akan membuat keputusan yang mencerminkan hasrat kerajaan untuk meletakkan FGV lebih kukuh pada masa depan,” katanya.

Terdahulu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FGV Isa meletak jawatannya serta merta atas urusan peribadi.

Share This:




Berita Bertarikh pada 19 June 2017 2:36 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]