Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

ISMA ajak rakyat sertai kempen tolak COMANGO

18 DIS: Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyeru rakyat negara ini yang beragama Islam untuk sama-sama menyokong kempen menolak tuntutan yang dibawa Gabungan NGO Malaysia (COMANGO).

Menurut Timbalan Presiden ISMA, Aminuddin Yahaya kempen “Sejuta Ummah Tolak COMANGO” sudah  dilancarkan untuk mengumpul tandatangan mereka yang menyokong supaya tindakan keras dikenakan ke atas gabungan itu.

isma“COMANGO ini seperti yang kita semua tahu, mereka membawa tuntutan hak kebebasan asasi manusia, tetapi itu hanya suara minoriti rakyat di negara ini sahaja, hakikatnya ramai yang menolak.

“Kami jangkakan sehingga hujung Januari 2014 kami akan berjaya mengumpulkan satu juta tanda tangan umat Islam yang menolak tuntutan ini dan kita akan serahkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

ISMA merupakan NGO yang mendedahkan tuntutan COMANGO yang disifatkan melangkaui batas-batas norma manusia biasa.

Tuntutan ini juga akan mengakibatkan kedaulatan agama Islam akan terhakis di Malaysia dan akan menjadi sebuah negara yang liberal sekiranya tuntutan itu diterima dalam proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) melalui Majlis Hak Asasi Manusia (HRC).

Antara tuntutan berbahaya itu ialah Malaysia dituntut menandatangani satu perjanjian berkaitan hak kebebasan beragama yang bakal memperlihatkan gejala murtad berleluasa.

Selain itu Malaysia juga dituntut menandatangani satu peraturan yang akan mengiktiraf hak golongan LGBT yang kesudahannya akan mengizinkan perkahwinan sejenis berlaku di negara ini.

Undang-undang kesalahan jenayah liwat juga perlu dihapuskan sebagai langkah mengiktiraf golongan songsang itu.

“Kami menuntut supaya kerajaan mengambil tindakan yang tegas berkenaan tuntutan ini bagi memelihara kedaulatan agama Islam dan juga akhlak seluruh umat Islam di negara ini,” katanya lagi.

Kempen ini dijalankan dengan kerjasama NGO lain termasuk Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) dan lain-lain. -bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 18 December 2013 12:31 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: