Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Isu tambak laut, P.Pinang tunggu kelulusan EIA

3 JAN: Kerajaan DAP Pulau Pinang memaklumkan sedang menunggu beberapa kelulusan daripada agensi berkaitan bagi melengkapkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek tambakan laut di perairan selatan negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow, berkata ia membabitkan Kajian Impak Perikanan, Kajian Impak Trafik dan Kajian Impak Sosial.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya sudah menerima kelulusan Jabatan Laut mengenai Laporan Analisis Risiko Marin dan Kajian Hidraulik dari Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan, masing-masing pada 18 Julai dan 29 Disember lalu.

“Perkara ini sudah disahkan pihak berkaitan, namun ia masih belum mencukupi. Kami masih memerlukan laporan Kajian Impak Perikanan, Kajian Impak Trafik dan Kajian Impak Sosial.

“Ketiga-tiga laporan berkenaan kini pada peringkat ‘re-submission’ kerana kita perlu menelitinya bagi menyelaraskannya dengan setiap persoalan berbangkit,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri bercadang menjalankan projek tambakan laut di selatan perairan Pulau Pinang dengan keluasan lebih 2,600 hektar untuk membina tiga pulau buatan bagi membiayai Pelan Induk Pengangkutan (PIP) bernilai RM47 bilion dan melantik SRS Konsortium sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP).

Bagaimanapun, projek mega itu mendapat tentangan pelbagai pihak dengan golongan nelayan tradisi di negeri ini dikatakan paling teruk terjejas, selain ia dilapor boleh mengubah sempadan laut negara dan mungkin menimbulkan masalah dengan negara jiran.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sedang menjalankan kajian berkenaan untuk menyokong permohonan EIA bagi cadangan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang.

“Kami ada menyatakan untuk memperoleh kelulusan EIA, kami perlu kemukakan beberapa laporan supaya agensi berkenaan akan buat penilaian dan keputusan terhadap laporan sedemikian sebagai satu bahagian daripada penyerahan untuk laporan EIA,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota daripada DAP itu turut mengulangi pendirian kerajaan negeri tidak akan memulakan projek tambakan laut sebelum mendapat kelulusan termasuk kelulusan laporan EIA.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 January 2018 8:50 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: