Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Isu tanah wakaf: Ahli perniagaan direman

5 MEI: Seorang ahli perniagaan direman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah urusan penjualan tanah wakaf Masjid Al-Hamideen berjumlah RM116,000 di Bukit Cina, Melaka.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd Anuar Ostadi, terhadap suspek berusia 66 tahun itu bermula hari ini.

Terdahulu, suspek berpakaian kemeja jingga lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 10.30 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Suspek ditahan ketika memberi keterangan di pejabat SPRM, di Alai, kira-kira jam 12.15 tengah hari semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Penahanan suspek yang dipercayai pembeli tanah wakaf itu menjadikan keseluruhan tangkapan berkaitan kes berkenaan kepada tiga.

Sebelum ini, bekas pengerusi dan bekas setiausaha masjid berkenaan ditahan di pejabat SPRM pada kira-kira jam 7 malam, Selasa lalu.

Kedua-dua suspek berusia 61 dan 46 tahun itu direman empat hari yang berakhir esok.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 May 2017 12:40 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: