Kategori Berita TPPASemasa/Laporan Sidang Parlimen

Isu Tarif AS-Jepun Jadi Tumpuan Mesyuarat Hari Akhir TPPA Peringkat Menteri

25 FEB: Isu tarif Amerika Syarikat (US)-Jepun akan menjadi tumpuan pada hari terakhir mesyuarat Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) Peringkat Menteri di Singapura yang mungkin membuka ruang untuk memuktamadkan rundingan perdagangan bebas itu lebih awal.

Selepas tiga hari rundingan pleno dan perbincangan dua hala, dua kuasa ekonomi dunia itu belum mencapai persetujuan terhadap isu terbabit.

Kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan melibatkan lima produk perladangan termasuk beras, gandum dan daging lembu.

Jepun mahu lima produk berkenaan dikecualikan daripada pemansuhan tarif namun AS mahukan sebaliknya dan berharap Tokyo akan membenarkan pengurangan tarif ke atas sebahagian daripada lima produk berkenaan.

Bagaimanapun pemerhati berpendapat masih ada harapan memandangkan kedua-dua negara bersetuju untuk terus berbincang bagi mencapai persetujuan.

Wakil perdagangan AS Michael Froman pada Isnin berkata AS dan Jepun akan terus bekerjasama bagi merapatkan perbezaan yang ada antara mereka dalam rundingan perdagangan.

Mesyuarat TPPA peringkat menteri bermula di Singapura Sabtu lepas dengan matlamat membincangkan isu-isu baharu dan tradisional berkaitan perdagangan dan pelaburan.

Menteri-Menteri Perdagangan dan pegawai dari Australia, Brunei Darussalam, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat, Vietnam dan Singapura hadir pada pertemuan empat hari itu.

Malaysia diwakili Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sepanjang tiga hari lalu, semua menteri perdagangan berkenaan berusaha keras untuk membawa isu-isu ke peringkat seterusnya.

Mustapa sendiri bukan sahaja menemui rakan sejawatannya dari negara anggota TPPA semasa sesi pleno, malah turut mengadakan mesyuarat dua hala.

Malaysia sentiasa membuat pendirian jelas dengan mengetengahkan kebimbangan dan sensitiviti khusus dalam bidang pemerolehan kerajaan, syarikat milik negara, isu Bumiputera, alam sekitar dan penyelesaian pertikaian pelabur negara (ISDS).

Dalam misi untuk melindungi kepentingan negara, Mustapa sebelum ini dipetik sebagai berkata bahawa draf teks Perjanjian TPPA itu akan diumumkan bagi membolehkannya diteliti secara terperinci dan dibuka untuk perbahasan awam sebelum sebarang perjanjian akhir ditandatangani.-bnbbc.my

TPPA-Trans-Pacific-Partnership-Agreement

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 February 2014 1:23 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: