Kategori Berita Utama

Jabatan Veterinar sahkan daging babi di Masjid Carok Tok Kun

23 FEB: Laporan yang diterima dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang mengesahkan seketul daging yang ditemui di pekarangan Masjid Cherok Tokun, Machang Bubuk, Seberang Perai Tengah, adalah daging babi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan polis sudah menerima pengesahan daripada Jabatan Veterinar itu.

Beliau berkata, polis juga sudah merekodkan enam keterangan daripada penduduk kampung dan ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

“Dalam kes ini, polis tidak akan bertolak ansur dengan tindakan mana-mana individu cuba mencetus provokasi yang boleh menggugat perpaduan kaum.

“Polis akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menimbulkan suasana menggugat ketenteraman awam dan keharmonian rakyat berbilang kaum,” kata Abdul Rahim.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, Polis Pulau Pinang.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.

SH Daging BabiAhad lalu, daging babi itu ditemui oleh seorang pembantu imam ketika hendak menunaikan solat Subuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, daging berukuran sebesar dua tapak tangan dewasa itu ditemui lelaki berkenaan yang ingin memasuki ruang masjid.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu diminta menghubungi Rakan Cop di talian 04-2295900 atau mana-mana balai polis terdekat.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 February 2014 1:05 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: