Kategori Berita Utama

Bunyi dikesan kapal China konsisten isyarat kotak hitam

6 APR: Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) buat masa ini belum dapat mengesahkan sama ada isyarat denyutan elektronik (pulse signal) yang dikesan kapal peronda tentera laut China di selatan Lautan Hindi ada kaitan dengan pesawat yang telah 30 hari hilang itu.

Ketua Penyelaras JACC, bekas Ketua Marsyal Udara Australia Angus Houston bagaimanapun mengakui isyarat denyutan elektronik pada frekuensi 37.5 kilohertz (kHz) sesaat yang dikesan kapal Haixun 01 itu konsisten menyamai frekuensi standard antarabangsa bagi pemancar isyarat lokasi untuk kotak hitam.

Angus Houston Ketua Penyelaras JACC

Angus Houston
Ketua Penyelaras JACC

“Saya telah dimaklumkan bahawa satu siri bunyi telah dikesan oleh kapal China di kawasan carian. Ciri-ciri dilaporkan adalah konsisten dengan kotak hitam pesawat,” kata Houston dalam kenyataan yang dikeluarkan JACC awal pagi Ahad.

Isyarat denyutan elektronik itu dikesan di sekitar kawasan garis lintang 25 darjah selatan dan garis bujur 101 darjah timur melalui alat pengesan kotak hitam yang dipasang pada Haixun 01.

Berita mengenainya dilaporkan oleh agensi berita China Xinhua, AFP, serta beberapa media antarabangsa lain.

Namun Pusat Maritim Mencari dan Menyelamat China dalam kenyataannya berkata, isyarat yang dikesan Haixun 01 belum dapat dikenal pasti sama ada daripada MH370 atau sumber lain.

Xinhua juga melaporkan pesawat Ilyushin IL-76 milik Tentera Udara China mengesan beberapa objek berwarna putih terapung di selatan Lautan Hindi pada jam 11.05 waktu tempatan dan gambarnya dirakam selama 20 minit.

Lokasi bunyi pulse sign dikesan kapal ChinaSeorang juruterbang Australia yang berada dalam pesawat China itu turut melaporkan penemuan objek itu kepada JACC yang menyelaras misi SAR pelbagai negara di selatan Lautan Hindi.

Pesawat China itu adalah yang pertama berlepas pada jam 6.04 pagi Sabtu ke kawasan pencarian kira-kira 2,700 kilometer dari pesisir pantai Perth, dan pulang pada jam 2.20 petang.

Houston turut menggesahkan JACC ada menerima laporan pesawat China itu ternampak beberapa objek putih kira-kira 90 kilometer dari kawasan bunyi denyutan elektronik dikesan.

“Bagaimanapun, tidak ada pengesahan pada peringkat ini sama ada isyarat dan objek yang dilihat itu berkaitan dengan pesawat yang hilang.

Kapal peronda Tentera Laut China Haixun 01

Kapal peronda Tentera Laut China Haixun 01

“Makluman daripada Pusat Penyelarasan Menyelamat (RCC) Pihak Berkuasa Keselamatam Maritim Australia (AMSA) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Auustralia adalah mereka tidak boleh mengesahkan sebarang kaitan dengan pesawat (MH370) yang hilang,” kata Houston.

Namun menurut beliau, RCC Australia telah berhubung dengan RCC di China bagi meminta maklumat lanjut yang mungkin relevan.

Australia juga sedang mempertimbangkan penghantaran aset Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) ke kawasan di mana bunyi denyutan elektronik itu dikesan.

Penerbangan MH370, dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal, belum dapat dijejaki selepas hilang dari imbasan radar kira-kira jam 1.41 pagi, 8 Mac lalu, selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pesawat berkenaan sepatutnya mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa Penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.-bnbbc.my

Statement JACC on pulse signal detected by China vessel

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 April 2014 6:00 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: