Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

JAIS tak perlu pulangkan Bible dirampas – Majlis Fatwa Kebangsaan

17 JAN: Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang kelmarin berpendapat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak perlu memulangkan buku-buku, temasuk Bible yang dirampas 2 Januari lalu kerana tindakan berkenaan selaras dengan peruntukkan undang-undang sedia ada serta titah Sultan Selangor sebagai Ketua Negeri dan Agama Islam.

Kenyataan mengenai keputusan sidang Muzakarah Khas pada 15 Januari itu yang diumumkan pada Khamis itu diharap memuaskan hati dan difahami semua pihak, khususnya PAS.

PAS sebelum ini menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan pendirian atau mengeluarkan ketetapan berhubung penggunaan Kalimah Allah, yang menjadi punca serbuan serta rampasan Bible dalam Bahasa Melayu oleh JAIS di premis Pusat Bible Malaysia (PBM) di Damansara itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar 6 Januari lalu menegaskan bahawa isu penggunaan Kalimah Allah melibatkan penganut agama Kristian di negara ini telah menimbulkan kekeliruan semua pihak dan harus diperbetulkan segera.

Berikut adalah Ketetapan Penuh 7 Perkara Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam seperti yang dieadarkan kepada media.

  1. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 15 Januari 2014 memandang serius dan amat kecewa apabila para ulama dilempar dengan kata-kata kesat dan diperlekehkan hanya kerana pandangan atau hukum yang dikeluarkan tidak memenuhi kehendak atau memihak kepada golongan tertentu. Sikap tidak menghormati pemimpin (umara) semakin menjadi-jadi seolah satu trend dan budaya masyarakat Islam di Malaysia sejak akhir-akhir ini.
  2. Muzakarah juga mengingatkan seluruh umat Islam dan juga bukan Islam bahawa apabila sikap saling hormat-menghormati semakin terhakis, ulama serta umara dicela dan tidak dihormati maka bibit-bibit pergolakan akan mula dirasai. Kita tidak mahu pergolakan dan pertumpahan darah yang berlaku di sesetengah negara berlaku di negara kita Malaysia.
  3. Muzakarah meminta seluruh umat Islam supaya sentiasa menjaga keharmonian dan kedaulatan negara kerana Islam mewajibkan seluruh umat Islam agar bersatu dengan mentaati Allah, Rasul dan pemimpin yang dilantik secara sah oleh rakyat. Perbuatan mencela pemimpin kerana tidak berpuas hati dengan keputusan atau tindakan kerajaan tidak boleh dipandang remeh kerana ia akan menimbulkan fitnah, kekacauan dan mengganggu kestabilan sesebuah negara.
  4. Islam membenarkan setiap rakyat untuk menasihati pemimpin namun tanggungjawab amar ma’ruf nahi munkar tersebut perlu dilakukan mengikut adab dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam.
  5. Muzakarah juga menasihatkan para pemimpin supaya sentiasa sensitif terhadap kemaslahatan rakyat kerana dalam kaedah fiqh iaitu keputusan pemimpin adalah bergantung kepada kemaslahatan rakyat. Pemerintah perlu menggunakan segala kebijaksanaan dan hikmah dalam menangani apa juga isu yang berlaku.
  6. Muzakarah Khas pada hari ini juga menyokong tindakan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah. Tindakan serbuan yang dilakukan adalah selaras dengan peruntukan undang-undang dan titah Tuanku Sultan Selangor, dan buku-buku yang dirampas tidak perlu dipulangkan.
  7. Muzakarah juga kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba mempolemikkan isu-isu sensitif seperti tindakan Jais dalam menguatkuasakan fatwa penggunaan kalimah Allah dan menjadikan agama sebagai umpan politik. Muzakarah menyeru seluruh umat Islam supaya menghentikan tindak tanduk seumpama ini demi menjaga kedaulatan agama, perpaduan ummah dan keamanan negara.

Ketetapan yang dibuat  Majlis Fatwa Kebangsaan pada Rabu yang amat jelas, terang lagi nyata diharap tidak lagi mengelirukan PAS bagi membolehkan seluruh warga parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu tidak lagi berbelah-bahagi dalam menyokong tindakan JAIS mempertahankan kalimah Allah daripada disalahguna dalam Bible atau apa juga jenis penerbitan orang bukan Islam sama ada dalam bahasa Melayu ataupun lain-lain bahasa.-bnbbc.my

Muzakarah Khas Majlis Fatwa Kebangsaan Mengenai Hal Ehwal Agama Islam.

Muzakarah Khas Majlis Fatwa Kebangsaan Mengenai Hal Ehwal Agama Islam.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 January 2014 6:54 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: