Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

JAKIM kata pengguna salah baca label

20 Mac: Dakwaan bahawa coklat berjenama Eyeglass with Candy mengandungi bahan tidak halal dinafikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dalam satu kenyataan pada Isnin, agensi itu berkata terdapat salah faham berlaku apabila pengguna tidak membaca label dengan teliti sehingga menyebabkan maklumat tidak benar disebarkan di media sosial.

Pada hujung minggu lalu, seorang netizen iaitu Syahrizan Abd Rahman memuat naik gambar-gambar coklat di akaun Facebooknya yang diterimanya ketika menghadiri kenduri perkahwinan.

Beliau kemudian mendakwa terkejut selepas memeriksa label coklat mendapati ia mempunyai kandungan bahan-bahan dari produk babi.

Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa coklat Eyeglass With Candy keluaran Goodfood Industries Sdn Bhd merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah sehingga kini.

“Perlu diketahui, proses pengeluaran Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) mengambil kira setiap ramuan dan proses yang berkaitan di dalam pengeluaran sesuatu produk dengan teliti oleh pakar syariah dan juga teknologi makanan.

“Justeru, jadilah pengguna yang bijak sebelum menyebar dan berkongsi sesuatu isu halal yang tular dengan merujuk pihak berwibawa agar tidak terjebak ke dalam dosa fitnah sesama ummah,” katanya.

Agensi itu turut menggesa pengguna yang mahu mengetahui status halal produk melayari direktori halal di www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar MyJakim.

Share This:




Berita Bertarikh pada 20 March 2017 5:57 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]