Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Jamal bertegas takkan mohon permit MBPJ

12 OKT: Datuk Seri Jamal Md Yunos menegaskan tidak akan memohon permit daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menjual ikan di himpunan “Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” Sabtu ini.

Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu juga mempersoalkan tindakan MPBJ memintanya memohon permit kerana beliau mahu berniaga untuk beberapa jam sahaja di tunjuk perasaan anjuran Pakatan Harapan (PH).

“Jualan ikan harga patut ini saya sudah buat banyak kali. Tidak ada masalah pun. Salah ke nak jual ikan untuk bantu orang ramai dapatkan harga ikan RM5 sekilo?

“Kenapa nak permit, saya bukan bekerja tetap di sana. Saya hanya meniaga ambil masa 2 atau 3 jam sahaja,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Beliau berkata demikian selepas Datuk Bandar Datuk Mohd Azizi Mohd Zain memaklumkan penguatkuasa akan menghalau beliau sekiranya meniaga tanpa permit di himpunan itu nanti.

Azizi juga berkata Jamal belum memohon permit daripada MBPJ.

“Penguatkuasa kita akan halau dia keluar. Kalau nak niaga ikut suka tak boleh. Kita ada peraturan,” katanya.

Selain berpolitik, Jamal juga seorang peniaga yang menjalankan perniagaan ikan harga ekonomi di Sekinchan, Ampang dan Pandan.

Jamal dilaporkan ingin meniaga ikan di Padang Timur Sabtu ini, yang akan menjadi lokasi tunjuk perasaan “Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi”.

Ketua UMNO Sungai Besar itu berkata beliau tidak mahu mengganggu acara itu, dan akan melakukan jualan bermula tengah hari.

Polis bagaimanapun menasihatkan Jamal untuk tidak mencetuskan provokasi.

Jamal berkata sepatutnya MBPJ perlu bimbang dengan himpunan PH yang tidak mendapat permit polis.

“Kenapa nak bimbang saya jual ikan. Sepatutnya perhimpunan haram di padang itu yang dihalang.

“Setakat hari ini pendirian sama: tak melihat salahnya jual ikan. Sudah pasti akan teruskan niat murni untuk masyarakat,” katanya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 12 October 2017 11:45 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]