Kategori Berita Utama

Jangan api-apikan isu agama – Rahman Dahlan

7 JAN: Semua pihak diminta berhenti ‘bermain api’ dengan memainkan isu agama hingga menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 terutama di Sabah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

“Saya tahu menjelang pilihan raya ini akan lebih banyak lagi cerita mengarut yang boleh memecahbelahkan rakyat pelbagai kaum dan agama.

“Saya harap apa pun yang kita pertaruhkan sama ada kuasa atau undi, jangan pecahkan perpaduan antara agama.

“Jika perpecahan atau peperangan disebabkan ideologi, ia boleh diselesaikan tetapi jika sebab agama, sampai bila-bila tak selesai,” katanya pada majlis makan malam Krismas dan Tahun Baharu 2018 di Kota Belud malam tadi.

Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Musbah Jamli dan ADUN Kadamaian, Jeremy Malajad.

Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata kerajaan tidak pernah meminggirkan mana-mana agama termasuk Kristian di negara ini.

“Saya harap penganut agama Kristian tidak bimbang kerana kebajikan mereka kita akan perkukuhkan.

“Saya akan pastikan apa juga permasalahan penganut agama itu akan kita penuhi, malah saya sendiri melantik pegawai khas beragama Kristian di Pejabat Perhubungan Parlimen sebagai penghubung,” katanya.

Sempena majlis itu, Rahman menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada empat sekolah dikendalikan gereja di Kota Belud dengan masing-masing menerima RM5,000.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 January 2018 10:49 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: