Kategori Berita Utama

Jangan buat andaian, serah polis siasat video KP SPRM

14 NOV: Orang ramai diminta tidak membuat sebarang andaian dan perlu memberi peluang kepada pihak polis menyelesaikan siasatan terhadap video yang tular kononnya membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan seorang wanita bercuti di luar negara.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menegaskan, pihak polis sedang menyiasat perkara tersebut dengan pemantauan dilakukan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Buat masa ini masih lagi dalam siasatan pihak polis. (Tidak perlu) Untuk kita memberi penekanan ia betul atau tidak dakwaan yang dibuat. Sama ada pihak SPRM membuat siasatan, saya rasa ia bergantung kepada siasatan yang telah dibuat oleh pihak polis dan pemantauan oleh pihak peguam negara.

“Kerana ini bukan kes yang biasa, orang yang dituduh subjek adalah ketua kepada agensi yang nak menyiasat,” katanya menjawab celahan Ahli Parlimen DAP Kulai Teo Nie Ching ketika sesi pergulungan peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Bagaimanapun Razali menjelaskan orang ramai mesti memberi kepercayaan kepada pihak polis merungkaikan perkara tersebut dan mengingatkan bahawa tiada siapa pun di dalam negara ini boleh terlepas daripada dihukum atas kesalahan yang dilakukan.

“Tetapi kita perlu ingat tidak ada orang yang boleh lari daripada bentuk kesalahan yang dilakukannya. Akan ada prosedur-prosedur lain, buat masa ini pada saya kita perlu memberi peluang kepada pihak polis menyelesaikan siasatan daripada laporan-laporan polis yang telah dibuat.

“Kita nak kena tahu juga, betul ke pergi Bali, ramai yang tanya hari tu betulkah ini orangnya, semua andaian akan dapat jawapannya selepas polis selesai membuat siasatan,” jelasnya.

Dalam pada itu Razali berkata prestasi SPRM tidak boleh diukur berdasarkan sabitan kes setiap tahun kerana ada kes mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.

“Jadi kita tidak boleh ukur jumlah sabitan atau pendakwaan mengikut tahun, mungkin ada yang mengambil masa yang panjang sehingga memberi kesan pada tahun sebelum itu,” katanya.

Namun begitu menurut Razali, SPRM akan memberitahu terus kerja-kerja yang telah  meningkat prestasinya kepada umum melalu peratusan jumlah sabitan kes yang berjaya didakwa di mahkamah.

“Peratusan sabitan kes di mahkamah bagi tempoh 2013 ialah 84 peratus, 2014 ialah 78 peratus, 2015 ialah 77 peratus, dan 2016 ialah 87 peratus,” jelas Ahli Parlimen Muar itu.

Kerajaan juga katanya sentiasa mengambil berat keperluan logisitik SPRM termasuklah menyediakan peralatan-peralatan untuk siasatan dan keperluan ICT bagi memperkasakan operasi SPRM.

“Ini boleh dilihat dengan pembinaan bilik video bagi merekodkan orang yang disiasat atau saksi bagi memastikan tiada unsur-insur permaksaan, ugutan semasa rakaman percakapan saksi itu dijalankan.

“Selain itu SPRM telah membangunkan Complaint Management System (CMS) bertujuan untuk menguruskan aduan-aduan atau maklumat yang diterima oleh SPRM, seterusnya pengadu boleh mengetahui status pengaduan yang dilaporkan kepada SPRM tersebut,” katanya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 14 November 2017 10:47 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]