Kategori Berita Utama

Jangan jadi ‘tukang kipas’, cerita perkara benar, baiki jika kurang

13 OGOS: Amalan ‘semua OK..beres bos’ harus dihenti.

Itu mesej dari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika pelbagai persiapan sedang diatur untuk menghadapi pilihan raya umum ke 14 tidak lama lagi.

Punah…katanya kalau sokongan pada BN kurang tetapi jentera dan bilik gerakan buat laporan kata sokongan tinggi.

“Cerita yang benar, jangan jadi tukang kipas, kalau kita kurang sokongan kita baiki,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tapah, Ahad.

Beliau tidak mahu lagi pemimpin di peringkat akar umbi menjadi ‘tukang kipas’ dengan menyediakan laporan sokongan berstatus yang baik sahaja.

Sebaliknya, Naib Presiden UMNO itu berkata laporan dari bilik gerakan perlulah telus termasuk menyatakan sekiranya sokongan yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) kurang memberangsangkan.

“Laporan bila kita (pemimpin) balik kawasan semua cantik mereka tukang kipas betul, sebab kalau turun (sokongan) mereka kena jawab.

Zahid yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden mengambil contoh, situasi yang berlaku kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pilihan raya umum ke-11 (PRU11) sehinggakan beliau hanya mendapat 261 majoriti undi dalam Parlimen Pekan.

“Undi lebih sikit aja sebab bila balik ke kawasan tengok laporan bilik gerakan naik. Tapi dalam PRU12 naik 20,000 dan PRU13 naik lebih 22,000,” katanya.

Dalam pada itu, Zahid menegaskan isu nasional bukan faktor utama yang menyebabkan undi di sesuatu kawasan menurun, sebaliknya perkhidmatan yang dilaksanakan oleh jentera dan pemimpin merupakan kayu pengukur.

Katanya, jentera parti perlulah sentiasa menjalankan kerja dan tanggungjawab walaupun pemimpin atasan tidak balik ke kawasan.

Jentera perlu turun ke bawah betulkan persepsi, jangan turun bila pemimpin turun, bila pemimpin tak balik jentera pun tak peduli.

“Itu bukan cara kerja jentera di peringkat bawah, walaupun pemimpin tak turun kerja tetap kena jalan, sebab saya banyak kali beritahu kita bukan parti politik bermusim,” katanya.

Zahid juga optimis pengundi masyarakat Cina akan kembali menyokong BN pada PRU14 selepas golongan tersebut kini sedar mereka telah ditipu oleh pembangkang.

“Kita perlu melibatkan diri dengan pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan masyarakat Cina sebab mereka ingin rapat dengan kita,” katanya lagi.

Share This:




Berita Bertarikh pada 13 August 2017 3:27 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]