Kategori Kawasan YB

Jangan pandang sebelah mata, ramai MB dari Gerik

Sebut sahaja nama Gerik, mungkin ada yang tertanya-tanya asal-usul nama pelik itu? Al kisahnya, pada tahun 1870an, ada seorang raja bernama Raja Reman, dari Patani Siam masuk ke hutan Sungai Hangai dan membuka sebuah kampung.

Suatu hari ketika sedang memburu gajah, Raja Reman terdengar bunyi pelik  dari serumpun buluh. Setelah pengikut Raja Reman menggali hingga ke pangkal perdu buluh itu, mereka melihat berpuluh-puluh ekor tikus sedang mengunyah umbi buluh dan mengeluarkan bunyi “gerik…gerik…”.

Lantas Raja Reman menamakan kampung itu “Gerik”.

hasbullahgerik1

Hasbullah…Jika ada lapangan terbang baru, Gerik lagi maju.

Bunyinya agak kelakar, tetapi itulah yang diceritakan oleh Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman apabila ditanya mengenai asal usul nama Gerik.

“Terpulang nak percaya ke idak,” katanya.

Menurut Hasbullah,  ramai orang apabila disebut Gerik tidak menunjukkan minat dengan parlimen yang diwakilinya, walhal terdapat banyak tempat menarik di situ, terutama bagi golongan yang meminati sejarah dan eko-tourism.

“Keistimewaan Parlimen Gerik atau Parlimen P054 bukan sahaja salah satu pintu masuk ke  Thailand (melalui Betong) tetapi ia juga pintu masuk ke negeri Kedah (Baling) dan Kelantan (Jeli),” jelasnya.

“Di dalam parlimen ini juga terletaknya Hutan Dara Khatulistiwa, Royal Belum seluas 117,500 hektar yang kaya dengan pelbagai flora dan fauna, antaranya burung enggang, badak sumbu, tapir, harimau, kijang, pelanduk, rusa dan macam-macam lagi.

“Selain itu ada Pulau Banding di tengah-tengah Tasik Temenggor dengan hotel lima bintang, hotel bajet dan chalet.

hasbullahgerik

Bantuan kepada mereka yang memerlukan

Malah Kerajaan Negeri Perak mempunyai perancangan untuk menjadikan Pulau Banding sebagai Hab Pelancongan utama bagi daerah Hulu Perak memandangkan ia boleh dijadikan pintu masuk ke semua destinasi pelancongan di Tasik Temenggor dan Royal Belum.

“Kami juga ada sebuah lombong bijih timah yang sudah berusia lebih 100 tahun di Kelian Intan, iaitu Rahman Hydraulic. Ia adalah satu-satunya syarikat yang menjalankan aktiviti perlombongan bijih timah batuan keras yang terbesar di Malaysia.

“Jadi kalau ada sesiapa yang menganggap di Gerik tak ada apa-apa, jangan pandang sebelah mata. Sila datang dan alami sendiri keunikan Gerik,” kata Hasbullah dengan penuh semangat.

Menurut Hasbullah, ekonomi utama parlimen Gerik yang mempunyai 33,000 pengundi berdaftar ialah menoreh getah di samping tanaman durian dan dokong.

banding

Tasik Banding antara yang menarik kepada pelancong

Penduduk di situ juga aktif menjalankan perniagaan kecil berkaitan pertanian.

Katanya, di bawah parlimen Gerik ada dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Temenggor dan Pengkalan Hulu.

Hasbullah adalah bekas ADUN Temenggor sebelum menjadi Ahli Parlimen Gerik.

Gerik juga pernah dilabel kawasan hitam kerana pernah menjadi tempat persembunyian komunis malah Chin Peng ketika mahu mengadakan rundingan dengan Tunku Abdul Rahman di Baling pada 1955, telah keluar melalui Kelian Intan.

“Chin Peng keluar dari hutan Betong dan Tunku sambut dia di Kelian Intan, baru di bawa ke Baling untuk berbincang,” katanya.

Mengikut fakta sejarah, tiada kata sepakat dicapai selepas rundingan kerana parti Komunis Malaya enggan menerima pelan damai kerajaan dan mereka meneruskan gerakan bersenjata.

Berikutan itu,Tunku telah menarik balik tawaran pengampunan pada Februari 1956.

Hasbullah berkata, di segi politik, Parlimen Gerik juga mempunyai sejarah tersendiri. Selepas Merdeka, semua Menteri Besar Perak datang dari parlimen Gerik, bermula dengan Tan Sri Ghazali Jawi, diikuti Datuk Ahmad Said, Datuk Seri Wan Mohamad dan Tan SriTajol Rosli.

hasbullahgerik2

Hasbullah rapat dengan Orang Asli kerana mahu membantu mereka menjalani hidup lebih baik

 “Semasa dulu-dulu orang anggap Gerik ini sebagai kawasan buangan. Pegawai kerajaan kalau ditempatkan di Gerik seolah-olah macam kena buang daerah, tetapi hari ini sesiapa yang dihantar ke Gerik akan berasa seronok sebab udara di sini bersih, dan masih ada ciri-ciri kampung serta jauh dari hiruk pikuk kebisingan kota,” kata Hasbullah.

Sebagai Ahli Parlimen apakah yang dimahukan oleh Hasbullah untuk Gerik?

“Kami ada lapangan terbang lama. Ia kecil dan landasannya cuma sepanjang 500 meter. Setakat helikopter, boleh lah mendarat. Semasa dalam Dewan Rakyat saya sudah minta supaya landasan itu dipanjangkan supaya wujud perhubungan lebih mudah dan kapalterbang kecil boleh mendarat. Sekurang-kurangnya kalau ada lapangan terbang mini, orang boleh naik kapalterbang ke Pulau Pinang dari situ.

“Selain cuba mendapatkan perhatian kerajaan untuk membina lapangan terbang mini, saya mahu perkasakan Royal Belum sebagai kawasan tarikan pelancongan bukan sahaja kepada pelancong luar negara, tetapi juga tempatan.

“Saya juga mahukan orang tempatan terlibat secara langsung meraih pendapatan daripada pelancongan seperti membina rumah bot, menyediakan perkhidmatan pengangkutan bot kecil, meredah hutan dan kegiatan rekreasi yang berkaitan dengan eko-tourism.” katanya

Hasbullah berkata dia juga mahu menjadikan parlimen Gerik sebagai tumpuan pengkaji sejarah dan penerbit filem atau drama baik dari luar negara untuk membuat penggambaran.

“Ada mitos mengatakan Hang Tuah tidak mati di Melaka. Kononnya dia lari ke Hulu Sungai Perak, iaitu di Gerik. Maka saya nak ajak pengkaji sejarah buat kajian, benar atau tidak dakwaan ini? Sekurang-kurangnya cerita ini dapat menarik pelancong datang ke tempat kita,” katanya.

Hasbullah juga berazam meningkatkan kemudahan asas di kawasan-kawasan orang asli di sekitar parlimen Gerik.

royalbelum

Antara keindahan Royal Belum yang menjadi tarikan pelancong

“Saya masih tak puashati dengan bekalan air bersih kepada orang Asli. Sebelum pilihanraya lalu kami uat solar hibrid paling besar di Asia Tenggara tetapi belum dirasmikan. Ia boleh membekalkan air kepada 900 buah rumah. Harapan saya masalah air dapat diselesaikan bila ia siap sepenuhnya.

“Saya juga berazam mengubah gaya hidup orang Asli. Saya mahu menggalakkan mereka menjadi penoreh getah. Pada masa sama, anak orang Asli perlu mendapat pendidikan sempurna dari peringkat  sekolah rendah hingga menengah. Langkah ini telahpun dimulakan menerusi Rancangan Pemulihan Semula (RPS) orang asli di sekolah rendah dan menengah di Banun.

“Kita mahu mengajak orang Asli yang suka berpindah randah supaya duduk setempat di mana kita akan membinakan rumah untuk mereka. Apabila sudah duduk setempat, ia memudahkan kami untuk mengajar mereka menoreh getah atau berniaga untuk meraih pendapatan,” ujarnya.4/2/2014-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 February 2014 12:42 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: