Kategori Berita Utama

Jangan perjudikan masa hadapan negara

16 JULAI: Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak memperjudikan masa hadapan negara dengan meletakkan risiko untuk memilih pakatan pembangkang pada PRU akan datang.

Peringatan itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negara ini tidak boleh dibiarkan untuk diteraju oleh Pakatan Harapan yang jelas kabur perjuangannya.

Menurutnya, gabungan DAP, PKR, PPBM dan PAN tidak mempunyai hala tuju yang jelas, sebaliknya kejayaan Barisan Nasional (BN) memimpin negara tidak boleh disangkal lagi yang terbukti berjaya sejak merdeka.

“Banyak pihak mengatakan mereka meletakkan negara dalam risiko yang tinggi, jadi sebagai rakyat biasa mengapa kita perlu untuk berbuat demikian.

“Kita sudah ada UMNO dan BN. Walaupun ada sedikit sebanyak yang mereka tidak senang hati tetapi umumnya kita sudah membuktikan berjaya membawa negara ke tahap boleh dibanggakan,” katanya.

Najib berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka UMNO 2017 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Ahad.

Dalam pada itu, Najib berkata, lebih 50,000 pengunjung yang memeriahkan majlis menunjukkan parti keramat orang Melayu itu terus mendapat sokongan pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau memuji pengunjung yang sanggup datang awal menunggu sebelum majlis bermula dan berpuas hati dengan semangat tinggi ahli UMNO serta orang ramai.

“Alhamdulillah, sambutan di luar jangkaan sebab awal pagi lagi orang berpusu-pusu dan tak putus-putus sampai ke dewan untuk menjayakan rumah terbuka ini.

“Ini kali pertama kita adakan rumah terbuka besar-besaran. Bukan hanya pengunjung dapat bersama, badan perhubungan UMNO seluruh negara dapat bersama dan bersatu di bawah satu bumbung.

“Saya sempat melawat gerai dan bersalaman dengan tetamu. Nampaknya, mereka cukup senang hati dengan majlis ini. Mereka tunjuk semangat yang tinggi menandakan UMNO terus mendapat sokongan,” katanya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 16 July 2017 3:17 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: