Kategori Berita Utama

“Jangan tanya saya tentang Mahathir, saya sokong Najib”

31 JAN: Bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu berikrar menyatakan kesetiaan beliau terhadap Perdana Menteri kini, Datuk Seri Najib Razak.

Samy yang kini merupakan Duta Khas ke India dan Asia Selatan berkata, kesetiaan dan sokongan beliau hanya akan ‘berpihak’ kepada kepimpinan kerajaan kini yang diterajui dan bukan sebaliknya.

Walaupun setelah diasak beberapa kali oleh wartawan tentang pendapat beliau berhubung pelantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sekiranya pembangkang berpeluang memerintah negara, beliau enggan mengulas.

“Tidak ada komen. Jangan tanya saya tentang Mahathir kerana sokongan saya tetap pada pemerintah ketika ini. Saya tidak mahu dan tidak memberi sebarang komen tentang beliau.

“Pada saya, saya pernah bekerja dengan beliau selama 21 tahun. Kami bersama-sama telah bekerja dalam semua aspek, saya telah banyak bertemu beliau untuk mendapatkan nasihat kerana ketika itu beliau adalah Perdana Menteri.

“Beliau adalah seorang pemimpin yang baik. Itu sahaja yang saya mahu katakan tetapi saya tidak akan beri apa-apa komen lebih dari itu. Tanya saya tentang pentadbiran kerajaan kini, saya sedia jawab.

“Tetapi kini, sokongan saya hanya berpihak kepada kerajaan yang dipimpin oleh Najib Razak. Saya sentiasa sokong pentadbiran sekarang,” katanya selepas menghadiri sambutan Thaipusam yang ke-128 di kuil Sri Subramaniyar Swamy di Batu Caves, hari ini.

Ahli politik veteran yang membawa impak besar kepada masyarakat India selama lebih 25 tahun itu turut memuji kepimpinan Najib.

“Negara kita kini sudah semakin moden, arus pentadbiran juga sudah berubah. Jika anda tanya tentang pendapat saya, negara kita sedang menuju kearah permodenan dan semakin maju,” ujarnya.

Tambah Samy, sokongan beliau tidak akan berubah malah sokongan itu akan kekal kepada Perdana Menteri yang seterusnya juga diterajui oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini, Mahathir pernah menuduh Samy tidak melakukan apa-apa sumbangan sehingga menyebabkan masyarakat India di negara ini mundur namun pada tahun 2012, Samy tampil memberi kenyataan kekalahan besar beliau di kerusi Parlimen Sungai Siput berpunca daripada Mahathir.

Anak beliau yang juga merupakan Bendahari Agung MIC ketika ini, Datuk Seri S. Vell Paari juga sentiasa tampil lantang menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan BN terutamanya Najib.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 January 2018 9:18 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: