Kategori Berita Utama

Janji mansuh tol lebuh raya masih dalam mimpi

30 MEI: Impian rakyat untuk menikmati janji Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi memansuhkan semua tol lebuh raya di Semenanjung tidak  berlaku apabila pengumuman yang dibuat hari ini hanya menyebut 50 peratus potongan kadar tol untuk tempoh dua hari sebelum perayaan Aidilfitri.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO dalam kenyataan menganggap ia ternyata bercanggah dengan manifesto PH yang berjanji untuk menghapuskan tol demi meringankan beban rakyat.

Tol di lebuh raya (foto fail)

“Kerajaan tidak wajar menggula-gulakan rakyat dengan janji penghapusan tol semata-mata untuk meraih undi kerana apa jua janji kepada rakyat, mestilah ditunaikan sebaik mungkin, tanpa alasan dan helah politik,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, susulan pengurangan hanya 50 peratus dan dua hari saja menjelang Aidilfitri, rakyat kini tertanya-tanya adakah Kerajaan Persekutuan mampu mengotakan janji manifesto PRU14.

“Jika Kerajaan PH sanggup menjadikan isu 1MDB sebagai agenda politik, maka rakyat sanggup menggunakan isu tol sebagai tuntutan janji manis mereka.

“Ini bukan salah rakyat. Carilah ubat kepada strategi ‘membuka pekung di dada ini’ kerana ia ternyata membuat pelabur luar berfikir banyak kali untuk menanam modal di negara yang pentadbirannya masih caca merba.

Tegas Unit terbabit, menurut agensi penarafan RAM Ratings, penghapusan semua tol lebuh raya akan membabitkan bon dan sukuk berjumlah RM53 bilion.

“Ini bermakna ia adalah kerugian besar kepada pemegang konsesi dan kerajaan bagi tempoh yang singkat.

“Bagaimana kerajaan mampu menanggung perbelanjaan bagi melunaskan hutang dengan syarikat konsesi ini, yang ada antaranya baru memulakan kutipan bagi membiayai kos pembinaan lebuh raya mereka?

“Apakah masa depan pembinaan lebuh raya lain, misalnya Lebuh Raya bertingkat Ulu Klang-Sungai Besi (SUKE Highway) kendalian firma Prolintas mampu diteruskan tanpa kutipan tol?

Tegasnya, sebenarnya rakyat sudah menerima sistem bertol ini sejak PLUS mengutipnya pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke-4.

“Seperti di negara lain, sebahagian besar rakyat Malaysia memahami tujuan kutipan tol oleh syarikat konsesinya, biarpun jalan raya alternatif masih ada, mereka selesa menggunakan lebuh raya bertol untuk ke destinasi, serta faham ia dibina untuk kemudahan mereka.

“Mereka juga faham kos yang tinggi untuk membinanya di sesetengah tempat, masalah pengambilan alih tanah serta pampasan.”

Katanya lagi, mungkin PH kini tercari-cari jawapan sebenar dari segi implikasi kewangan kepada kerajaan dan pemegang konsensi tol sekiranya tol dihapuskan.

“Dalam keadaan pasaran saham yang merundum, penurunan berterusan ringgit dan penarikan keluar modal asing, pastinya merungsingkan kerajaan sekarang,” kata kenyataan itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 May 2018 4:43 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: