Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

JAS sasar 3P di semua Parlimen

Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyasarkan mewujudkan Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) dengan keahlian bermula sekitar 4,440 orang di kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk G. Palanivel berkata, program 3P merupakan pendekatan baharu yang diperkenalkan oleh JAS bagi menangani masalah aduan pencemaran terutama aduan berulang secara kolektif dan efektif mengikut kawasan Parlimen.

gpalanivelBeliau berkata, kumpulan fokus tersebut yang dianggotai ahli Rakan Alam Sekitar (RAS) serta masyarakat akan memainkan peranan proaktif bagi membantu JAS bertindak terhadap setiap aduan pencemaran alam sekitar dengan pantas dan cekap.

“Sebagai langkah permulaan, bilangan keanggotaan dalam 3P berdaftar hanya dihadkan kepada maksimum 20 orang. Kita akan berusaha menubuhkan pasukan ini di semua kawasan Parlimen secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Minggu Alam Sekitar Malaysia (MASM) Peringkat Kebangsaan, program 3P Peringkat Kebangsaan dan Pelepasan Jelajah Mesra Rakyat Rakan Alam Sekitar (JJMRAS) 1Malaysia 2013 di Tanah Rata, Cameron Highlands, Ahad.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. James Dawos Mamit; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Zoal Azha Yusof; Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli) kementerian, Datuk Dr. Mohd. Ali Mohamad Nor; Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) kementerian, Datuk Dr. Che Abdul Rahim Nik dan Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Halimah Hassan.

Mengulas lanjut, Palanivel berkata, ahli 3P memainkan peranan dengan membuat laporan secara berterusan berhubung masalah serta aduan pencemaran alam sekitar di kawasan masing-masing kepada pegawai JAS negeri yang ditetapkan kepada setiap kumpulan.

“Pengiktirafan dalam bentuk sijil penghargaan, token, baucar dan anugerah-anugerah khas akan diperkenalkan oleh JAS kepada ahli 3P yang menyalurkan kes-kes pencemaran sehingga masalah tersebut berjaya diselesaikan,” ujarnya.

Sempena pelancaran MASM juga, sebanyak 32 pasukan konvoi Jelajah Jejak Mesra Rakan Alam Sekitar (JJMRAS) 1Malaysia terdiri daripada agensi dari kementerian berkenaan serta RAS mula menjelajah ke seluruh negara dan akan berakhir pada sambutan MASM Peringkat Kebangsaan di Putrajaya pada 27 Oktober ini.

Pelepasan peserta program tersebut dibuat serentak di lima zon iaitu di sini (zon timur), Taman Herba Kangar di Perlis (zon utara), Sekolah Kebangsaan Ayer Baloi, Pontian, Johor (zon selatan), Rumah Panjang Lambir, Sibuti (zon Sarawak) dan Jalan UMS Sulaman, Kota Kinabalu (zon Sabah).-20/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 21 October 2013 8:40 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: