Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Jasad Alif Aiman ditemui selepas hilang 8 hari

11 JAN: Mayat kanak-kanak Tahun Enam, Alif Aiman Mohd Adli, ditemui di tepi sungai di Kampung Raja, Palekbang di sini, selepas lapan hari dan 20 kilometer dari tempat dia dilaporkan lemas di Sungai Kelantan.

Mangsa yang terjatuh ketika bermain di Kampung Pak Limah, Salor, Kota Bharu, Rabu minggu lalu, ditemui penduduk Kampung Raja jam 7 malam tadi dalam keadaan tertiarap dan badan membengkak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Deputi Superintendan Ibrahim Sharif, berkata hasil pengecaman, ibu bapa mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah anak mereka.

“Keadaan mayat sudah membengkak dan kulit sedikit menggelupas dan pengecaman paling jelas adalah seluar pendek berwarna hitam yang dipakai mangsa ketika hari kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tumpat,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat, malam ini.

Sementara itu, sepupu mangsa, Mohd Hafizul Izwan Mohd Bakri, 28, bersyukur kerana akhirnya jasad Alif Aiman ditemui selepas lapan operasi mencari.

“Sejak tiga hari lalu kami melakukan Solat Hajat supaya mayatnya ditemui walaupun operasi sudah ditamatkan kelmarin. Kami reda jika sebaliknya (tidak dijumpai).

“Walaupun sepupu saya ditemui sudah tidak bernyawa, sekurang-kurangnya jasadnya dapat dikebumikan dan bertanda,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 January 2018 7:44 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: