Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Jemaah umrah disahkan jangkiti MERS-CoV

1 JAN: Seorang jemaah yang baru pulang mengerjakan umrah disahkan dijangkiti Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV).

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit lelaki berusia 55 tahun itu baru pulang ke Malaysia pada 23 Disember lalu selepas mengerjakan umrah.

“Pada 24 Disember 2017, beliau mengalami gejala demam, batuk, lemah badan, lelah dan sakit kaki dan mendapatkan rawatan dari klinik berhampiran dengan rumahnya.

“Pada lewat malam 28 Disember 2017, beliau seterusnya datang ke Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan beliau telah dimasukkan ke wad HTAR untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Mengambilkira sejarah perjalanan beliau yang baru kembali dari menunaikan umrah, ujian saringan MERS-CoV dijalankan dan didapati positif, masing-masing bagi ujian saringan yang dijalankan oleh Hospital Sungai Buloh pada 30 Disember 2017 serta ujian pengesahan yang seterusnya dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 31 Disember 2017,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pesakit itu dilaporkan stabil dan telah dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan lanjut.

Dr. Noor Hisham berkata, pesakit mengakui melawat ke ladang unta dan kemudian meminum susu unta mentah dan bersentuhan dengan unta yang terdapat di ladang tersebut.

KKM sedang menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan, termasuk pengesanan serta pemantauan ke atas individu yang rapat dengan pesakit termasuk ahli keluarga, jemaah umrah dalam kumpulan yang sama, anggota kesihatan di fasiliti kesihatan yang merawat pesakit.

Merujuk kepada laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga kini punca jangkitan sebenar dan cara jangkitan bagi penyakit MERS-CoV ini masih lagi belum dapat dikenalpasti.

Namun, aktiviti seperti menyentuh haiwan terutama unta, memakan atau meminum sebarang produk mentah/tidak dimasak dengan sempurna yang melibatkan unta seperti susu, daging, air kencing adalah berisiko untuk mendapat jangkitan MERS-CoV.

WHO menegaskan, buat masa ini tahap penularan jangkitan tersebut secara keseluruhannya tidak diketahui dan tiada vaksin untuk memberi perlindungan terhadap jangkitan MERS-CoV dan tiada ubat khusus untuk merawatnya.

Pertubuhan itu juga tidak mengeluarkan sebarang nasihat perjalanan (travel advisory) atau mengeluarkan sebarang larangan lawatan ke negara-negara yang terlibat.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 January 2018 5:33 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: