Kategori Berita Utama

Jentera UMNO harus ada mentaliti untuk menang: Zahid

5 DIS: Ahli dan jentera UMNO harus memiliki winning mentality atau mentaliti untuk menang kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak boleh kalah dan tewas pada pilihan raya umum (PRU) ke 14.

Menurut Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, gerbang PRU ke 14 kian hampir dan semua perlu turun ke gelanggang sederap serentak apabila tiba masanya.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Perasmian Sayap pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di PWTC hari ini

 

“UMNO tidak boleh kalah. BN tidak boleh tewas. Kita tidak akan membiarkan Putrajaya beralih tangan. Putrajaya akan terus menjadi milik kita, milik UMNO dan Barisan Nasional,” kata Zahid.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian persidangan sayap pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bertema Lembayung Arjuna Bangsa di Dewan Merdeka, sebentar tadi.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin

Zahid yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO juga mahu seluruh kepimpinan pergerakan sayap dalam UMNO agar akur dengan keputusan Presiden parti dalam menentukan siapa sahaja calon yang akan dipilih nanti.

“Biarlah kita sepakat dan akur sepenuhnya dengan keputusan Datuk Seri Presiden parti. Kita perlu menghayati konsep “jiwa jama’ie”. Belajar menerima kelebihan dan kekurangan orang lain serta menyantuni setiap perbezaan,” katanya.

Zahid dalam pada itu mengakui  aura kepimpinan paling sukar ditemui ialah ‘likeable’ kerana apabila seseorang itu terpilih menjadi calon, pasti akan ada yang cemburu padanya.

“Oleh kerana itulah, kita memerlukan pemimpin bercirikan “Qudwah Hasanah” mampu memimpin dengan contoh dan teladan terbaik,”.

“ Jauhilah sikap buruk seperti mencari “Personal Glory”. Kita berjuang demi parti dan agenda arjana bangsa. Kita perlu melangkah sebagai suatu pasukan yang mantap.

Sepertimana analogi permainan sepak takraw, ada menjadi tekong, ada jadi tukang lambung (feeder) dan ada tukang libas!,” tegas Timbalan Perdana Menteri itu.

Dalam pada itu Zahid menegaskan  UMNO akan terus kekal relevan kerana ia sebuah parti politik lengkap dan berstruktur  serta akur mengikut setiap peraturan dan perundangan.

“Parti kita sendiri pun pernah diharamkan dan kita akur dengan kehendak perundangan.

Bukan seperti parti lain yang tidak mengendahkan peraturan dan undang-undang.

Katanya, ada parti pembangkang yang tidak mahu mematuhi peruntukan yang digariskan oleh peraturan dan undang-undang.

“Tanpa ada mesyuarat cawangan, tiba-tiba ada mesyuarat di peringkat tinggi. Perlembagaan parti juga tidak diikuti. Mereka panggil sayap tertentu ikut sesuka hati. Pentadbiran mereka mementingkan diri sendiri.,” ujarnya merujuk PPBM yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tambahnya, di dalam parti itu ada Presiden tidak bersuara, seolah-olah tiada kuasa mankala  Pengerusi pula bermaharajalela mmbuat keputusan seenaknya.

Perwakilan ketiga-tiga sayap yang hadir pada Perasmian Sayap Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di PWTC

“Belum lagi cerita mereka berebut kerusi pilihan raya. Lebih teruk; mereka ada 6 ketua dalam sebuah bahtera. Bayangkan apabila kapal itu mula berlayar, 6 nakhoda ini memberi arahan yang berbeza,”

“Agak-agaknyalah ke manakah bahtera itu hendak menghala? Jawabnya ia berpusing-pusing di tempat yang sama. ‘Cruise to no where’. Alahai! Pi Mai Pi Mai Duk Tang Tu Jugak,” katanya mengenai pembangkang di dalam PH .

Zahid turut mengingatkan perwakilan mengenai bangsa Melayu yang kini semakin berpecah.

“Mulanya berpecah dua kemudian tiga sekarang berpecah enam. Di dewan inilah, bekas pemimpin kita pernah mengajak kita bersatu. Kini, menjadi ‘tok pawang politik’ yang mahu menghancurkan UMNO.

“Mereka ini bersekongkol dengan musuh politik kita. Mereka inilah yang mengamalkan ‘politik simpang-peranang’. Ingatlah “jangan sampai barang digenggam jatuh terlepas”,”  pesannya lagi.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 December 2017 10:16 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: