Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Jika enggan pindah kenyataan sombong AirAsia

5 APR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan, jika AirAsia buat kenyataan enggan berpindah ke Klia2, itu berbunyi kenyataan yang sombong.

Bagaimanapun katanya, kerajaan menerusi Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) sedia mendengar dan meneliti sebarang masalah atau isu-isu dibangkitkan daripada pihak syarikat penerbangan tambang murah itu.

Sehubungan itu tegasnya, AirAsia tiada pilihan melainkan berpindah ke klia2 seperti yang dijadualkan dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pula tetap akan ditutup pada 9 Mei ini.

AirAsia“Kalau mereka buat kenyataan enggan berpindah, itu berbunyi kenyataan yang sombong. Tetapi kalau mereka sebut ada sebab untuk keberatan berpindah dan ingin berunding dengan kerajaan, saya fikir cara seperti itu lebih sesuai.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita akan teliti kalau mereka ada masalah. Tetapi apa yang saya ingin tekankan ialah berdialog dengan kerajaan menerusi MAHB.

“Sepatutnya kalau ada masalah, dari dulu sudah dibangkitkan. Sekarang projek itu (klia2) sudah siap, tidak boleh kata tidak mahu berpindah,” katanya kepada wartawan Malaysia di Hanoi.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Bhd, Aireen Omar pada awal bulan berkata, semua operasi AirAsia dan AirAsia X akan terus kekal di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) walaupun ia ditutup selepas 9 Mei.

Aireen dalam kenyataannya berkata, walaupun AirAsia bersedia pindah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (Klia2), namun perpindahan itu hanya akan dilakukan selepas semua isu diatasi.

Kenyataan CEO AirAsia itu memberi gambaran seolah-olah syarikat penerbangan tambang murah itu boleh memilih sama ada untuk mematuhi arahan kementerian bertanggungjawab atau tidak mengendahkannya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 April 2014 12:21 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: