Kategori Berita Utama

Jika mahu menang BN kena cari 3,500 pengundi baru

1 FEB: Bukan hendak bikin gempak tetapi Barisan Nasional (BN) sudah ada formula dan yakin boleh merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata, sekiranya BN memperolehi 3,500 pengundi baru yang menyokong calon parti itu, peluang BN menang majoriti sehingga 200 undi cerah.

Dalam masa sama katanya, BN kena memastikan jumlah mereka yang mengundi BN pada PRU 13 kekal .

ahmad

Ahmad meninjau sebuah keluarga di kawasan DUN Kajang

“Ini bukan terlalu sukar asalkan BN mampu menggerakkan segala jenteranya termasuk dari Putrajaya dan Kuala Lumpur. Harapan untuk menewaskan calon pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan hanya omongan kosong

“Jika kita dapat 3500 orang baru yang menyokong BN, kita boleh menang 100 ke 200 majoriti. Ini bukan sukar. Tidak ada mustahil dalam politik ini. Kita bukan hendak cari 35,000 orang,” katanya.

Menurut Ahmad, jentera dari dua tempat itu hanya 15 ke Kajang dan boleh digerakkan bagi mencari 3500 pengundi yang dulunya undi pembangkang supaya kembali menyokong BN.

Beliau berkata demikian kepada media selepas tinjauan awal di Sungai Kantan dalam DUN Kajang.

Timbalan Menteri Kewangan itu tidak menolak kemungkinan sokongan daripada masyarakat Cina akan kembali kepada BN kerana calon yang diketengahkan pembangkang itu tidak akan memberi sebarang manfaat kepada penduduk Kajang.

“Kawasan Melayu memang penyokong kuat BN, kawasan Cina kita kena usaha lebih. Jika kawasan Cina ada perubahan yang positif, maka ia positif kepada BN. Pandangan politik ini tidak kekal.

“Pandangan politik berubah apabila masyarakat Cina melihat Anwar Ibrahim ini tidak memberi manfaat, mereka akan berubah pandangan.

“Kedudukan beliau sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang akan menyukarkan beliau untuk memberi perkhidmatan yang baik di Kajang,” ujar beliau.

Ketika diminta mengulas tujuan beliau dan beberapa pemimpin BN tempatan membuat tinjauan, beliau menjelas ianya untuk mendapatkan pandangan masyarakat setempat adakah perlu BN meletakkan calonnya di situ.

Selain itu, jelas beliau ianya juga bertujuan untuk mencari dan mengenal pasti nama-nama yang sesuai untuk diketengahkan sebagai calon BN dalam PRK Kajang.

“Bagaimanapun, kita serah kepada pucuk pimpinan untuk bertanding ataupun tidak ditempat ini. Apa jua keputusan yang dibuat kita akan ikut. Jika disuruh bertanding kita gembira, jika tidak kita akur,” kata ahli Parlimen Pontian itu.

Beliau juga menyuarakan rasa kesal beliau terhadap pembangkang kerana PRK Kajang diadakan secara sengaja semata-mata untuk memenuhi dan menyelesaikan masalah dalaman kerajaan negeri Selangor dan PKR.

“Tetapi untuk menyelesaikan masalah dalaman ini, seluruh rakyat Kajang dilibatkan. Ini bukan pertama kali. Kita tidak melayan kaedah begini yang menyusahkan rakyat,” tegas beliau.

Turut bersama beliau ketika membuat tinjauan Setiausaha Badan Perhubungan Negeri Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz, Ketua Bahagian UMNO Hulu Langat, Datuk Markiman Kobiran dan Pengerusi MCA Hulu Langat, Jeffrey Lee Ban Seng. -bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 February 2014 9:32 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: