Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Juruaudit bebas dipanggil audit Zakat P.Pinang

12 MEI: Juruaudit bebas akan dipanggil untuk menjalankan audit ke atas Zakat Pulau Pinang (ZPP) selepas selesai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan pegawai kanan badan zakat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Abdul Malik Kasim berkata penglibatan audit bebas itu dibuat untuk melihat sama ada berlaku atau tidak penyelewengan wang zakat negeri ini.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya telah mendapatkan khidmat juruaudit bebas iaitu pada tahun 2015 dan ketika itu tiada penyelewengan atau rasuah dikesan dalam ZPP.

“Kami boleh panggil juruaudit bebas itu untuk buat audit dalam ZPP selepas pihak SPRM selesai menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan. Sekarang ini terlalu awal untuk buat sebarang keputusan berhubung perkara itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan mencadangkan kepada ZPP supaya membuat rombakan pegawai serta kakitangannya sekiranya terbukti terdapat unsur penyelewengan dan rasuah terhadap kutipan wang zakat agensi itu.

Selasa lepas, SPRM Pulau Pinang menahan pegawai kanan ZPP berusia 50 tahun dan tiga pegawai badan itu serta tujuh kontraktor bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat yang diperuntukkan untuk projek pembangunan masyarakat sejak tiga tahun lepas.

Kesemua tujuh yang ditahan itu direman selama seminggu sehingga 15 Mei ini. Pada hari Rabu, SPRM menahan seorang lagi kontraktor wanita bagi membantu siasatan kes itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 12 May 2017 6:13 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: