Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kadar celik pengurusan kewangan masih rendah dikalangan masyarakat

25 NOV: Kadar celik pengurusan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia masih meruncing sehingga menyaksikan lambakan sindiket penipuan skim cepat kaya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata keupayaan aspek kewangan rakyat ketika ini berada dalam situasi membimbangkan susulan laporan Bank Negara Malaysia.

Katanya, kajian mendapati 72 peratus daripada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya mempunyai simpanan sekitar RM50,000 pada usia prapesaraan, iaitu 54 tahun.

“Ini bermakna 50 peratus daripada pesara akan kehabisan dana KWSP mereka dalam tempoh lima tahun, sekali gus memberikan impak serius jika tidak ditangani.

“Kita turut bimbang dengan statistik bahawa lebih 50,000 orang menjadi mangsa skim pelaburan haram yang beroperasi di negara ini, sejak Disember 2015 lalu.

“Tanpa pengurusan kewangan yang betul, kerajaan bimbang lebih ramai akan memperuntukkan wang persaraan terhadap skim pelaburan haram yang akhirnya merugikan mereka,” katanya pada ucaptama perasmian Pameran Pelaburan Syariah 2017, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Amirsham A Aziz dan Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Seri Tajuddin Atan.

Pameran bertemakan ‘Jom Labur Syariah yang berlangsung selama dua hari, hingga esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu disertai 30 pempamer produk pelaburan patuh syariah seperti saham, dana dagangan bursa, amanah pelaburan harta tanah dan sukuk.

Pelbagai manfaat bakal diraih pengunjung, termasuk menerusi 22 siri ceramah, Invest Talk, yang antara lain menampilkan penceramah terkenal seperti Pengerusi Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan dan Penolong Profesor Kuliyyah Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa, Dr Zaharuddin Abdul Rahman.

Johari ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di tapak pameran berkata, orang ramai sewajarnya membuat perbandingan dengan beberapa petunjuk asas pelaburan daripada Bank Negara dan KWSP, selain pasaran bon serta sukuk kerajaan.

“Selepas membandingkan angka pulangan daripada agensi ini, baru kita boleh kenal pasti mana satu pelaburan haram kerana ia menjanjikan keuntungan tidak masuk akal, contohnya 10 peratus daripada modal untuk bulan pertama.

“Ini antara penanda aras utama, malah jangan ambil risiko pelaburan di luar jangkaan pasaran yang mempunyai kemungkinan kerugian tinggi.

“Dalam segi pelaburan kena ikut pulangan pasaran kerana paling penting adalah bukan berapa banyak anda dapat (pulangan), tetapi berapa lama kita boleh jaga modal,” katanya.

Mengulas persekitaran pasaran semasa, Johari berkata, 33 peratus daripada aset dana patuh syariah bernilai AS$71 bilion menerusi pengeluaran sukuk global (RM291.81 bilion) diuruskan di Malaysia.

Selain itu, katanya, aset perbankan Islam Malaysia mewakili 25 peratus daripada keseluruhan sistem perbankan domestik, iaitu RM628 bilion daripada RM2.5 trilion aset perbankan.

“Oleh itu, pelaburan patuh syariah ketika ini jauh berbeza dengan ekosistem dulu, sekali gus menjanjikan pulangan berbaloi jika kita mempunyai pengurusan kewangan yang sistematik,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 November 2017 12:45 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: