Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kakitangan, pegawai JASA diingatkan ambil iktibar jangan lena

22 MEI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kakitangan dan pegawai JASA tidak terus selesa dibuai mimpi dengan kemenangan besar dicapai Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) 2004 yang lalu.

Sebaliknya, beliau mahu mereka terus membantu kerajaan BN memperkuatkan jentera parti seterusnya memenangi PRU-14 yang bakal diumumkan pada bila-bila masa.

“Pada PRU-11, kita mencapai kemenangan besar ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sehingga berlakulah istilah disebut ‘ghanimah’ iaitu merebut harta rampasan perang.

“Kita sebenarnya terlupa itu semua adalah ujian daripada Allah SWT. Justeru, saya meminta kakitangan JASA serta semua pemimpin BN supaya mengambil iktibar yang kita pernah terpukul sebanyak dua kali iaitu pada PRU-12 dan PRU-13,” katanya.

Dalam ucapannya Zahid turut mengumumkan kerajaan bersetuju untuk mengkaji semula status kontrak pegawai perkhidmatan kakitangan Jabatan Hal Ehwal Jasa (JASA) daripada tempoh setahun kepada dua tahun.

Selain itu katanya kerajaan juga akan mempertimbangkan keperluan untuk menetapkan elaun bulanan RM300 kepada kakitangan kontrak JASA yang bersara selepas berkhidmat lebih 15 tahun, tetapi tidak menerima kelayakan bersara.

“Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan dan peranan pegawai dan kakitangan JASA kerana merekalah yang banyak menyumbang kepada kekuatan kerajaan yang memerintah hari ini.

“Bagaimanapun, bagi menyokong semua cadangan Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, mereka perlulah mendapat kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk berbincang mengenai tuntutan kakitangan kontrak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Kebangsaan JASA 2017 di Kem Permata Resort, Ayer Paabas, Melaka malam tadi.

Konvensyen tiga hari bertemakan ‘Ke Arah Memenangi Majoriti 2/3 Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)’ itu disertai seramai 942 warga JASA di seluruh negara.

Antara program yang diadakan, termasuk sesi dialog bersama wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan wakil Kementerian Kewangan mengenai status pelantikan tetap dan kontrak, kemajuan kerjaya dan kebajikan pegawai semasa dan selepas perkhidmatan.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Mohd Puad.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 23 May 2017 12:08 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: