Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kalimah Allah: Kebenaran rayuan gereja ditukar 5 Mac

15 JAN: Pendengaran permohonan Gereja Katolik bagi kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan melarang penerbitan majalah mingguan The Herald menggunakan kalimah Allah dijadual semula ke 5 Mac ini.

Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mohd Aizuddin Zolkeply mengesahkan tarikh pendengaran telah dijadual semula, lapor portal berita Utusan Online pada Rabu.

Pendengaran permohonan gereja bagi kebenaran merayu itu awalnya dijadualkan pada 24 Februari.

Sementara itu, seorang daripada peguam yang mewakili gereja, S. Selvarajah berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai pertukaran tarikh pendengaran itu pada Isnin oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

kalimahAllah

Pihak Gereja Katolik memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang The Herald menggunakan kalimah “Allah” 11 November tahun lalu.

Benjamin Dawson, seorang daripada peguam yang mewakili gereja itu berkata, pihak Gereja mengemukakan 26 persoalan undang-undang dalam permohonan kebenaran untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Persoalan undang-undang itu melibatkan tiga perkara iaitu persoalan perlembagaan, isu pentadbiran dan sama ada mahkamah boleh membuat keputusan ke atas isu perbandingan agama.

Pada 14 Oktober, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membenarkan rayuan kerajaan untuk melarang Herald menggunakan kalimah “Allah”.

Mahkamah itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah “Allah”.

Pada 16 Februari, 2010, Gereja Roman Katolik diketuai Archbishop Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, memohon antara lain, diisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah “Allah” dalam penerbitan Herald adalah salah di sisi undang-undang.

Penerbitan mingguan itu, diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah “Allah” untuk merujuk kepada “God” dalam Herald edisi bahasa Melayu, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.-bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 January 2014 6:16 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: