Kategori Berita Utama

Kami ada tugas lain di luar Parlimen: MP BN

21 NOV : Ahli parlimen Barisan Nasional (BN) bukan sengaja tidak berada di Parlimen sewaktu undi belah bahagian Bajet 2018 peringkat jawatankuasa Kementerian Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), semalam.

Ini kerana ada antara mereka mempunyai tugas-tugas penting di luar yang perlu diselesaikan juga demi kepentingan rakyat bukannya ponteng seperti dakwaan pihak tertentu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau yang sepatutnya pulang ke Sarawak bagi menghadiri perbincangan dan program di sana, terpaksa membatalkan penerbangan dan kemudian bergegas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Parlimen.

“Saya sangat kecewa dengan pembangkang kerana tidak bertanggungjawab, saya jarang untuk bercakap seperti ini tetapi ini kali pertama saya katakan pembangkang Malaysia tidak mempunyai prinsip menjiwai kehendak rakyat.

“Kita dalam BN kalau nak mainkan pembangkang pun boleh, mereka bantah bajet yang dibentangkan tetapi di belakang jumpa dengan pihak kementerian untuk minta peruntukan. Tak malukah mereka?

“Tak guna (rakyat) undi pembangkang kerana mereka tidak serius pun dalam membincangkan keperluan terhadap rakyat,” katanya kepada BNBBC.my portal.

Menurut Nancy, selepas solat maghrib di Parlimen semalam beliau terus bergegas ke KLIA.

Namun beliau sendiri merasakan seperti ada yang tidak kena dan meminta pegawainya membuat semakan sebelum seorang pegawai lain memberitahu bahawa terdapat undi belah bahagian.

“Saya terus patah balik ke Parlimen,” katanya.

Tegas Ahli Parlimen Batang Sadong itu, perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana peruntukan untuk KPDNKK adalah peruntukan yang dikira agak besar demi rakyat.

“Tetapi rakyat tak faham politik yang dimainkan pembangkang, saya sangat kecewa dengan tindakan mereka,” ujarnya.

Pembangkang semalam membuat kejutan apabila menuntut undi belah bahagian selepas Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainuddin selesai menjawab perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2018 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat.

Cadangan undian itu diminta Ahli Parlimen PKR G.Manivanan apabila menyedari bilangan ahli-ahli parlimen pembangkang lebih ramai berbanding ahli-ahli parlimen penyokong kerajaan.

Tindakan ahli-ahli parlimen pembangkang itu dipercayai ‘perangkap’ untuk mengagalkan bajet bagi KPDNKK ekoran rasa tidak puas hati mereka terhadap isu kenaikan harga minyak.

Bagaimanapun, bajet itu lulus dengan 52 menyokong, 51 menentang dan dua ahli parlimen PAS tidak mengundi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Simpang Renggam Datuk Liang Teck Meng turut mengulas perkara sama kerana beliau antara tidak dapat menghadirkan diri sewaktu undi belah bahagian.

Menyifatkan tindakan pembangkang seperti tidak siuman, Teck Meng berkata, beliau dan Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah serta Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong sedang menghadiri perbincangan bersama pihak lain tentang bantahan yang dibuat terhadap minyak sawit.

“Kita hadir di sana untuk membentangkan cara bagaimana kita tangani krisis tersebut, kita bersama dengan pihak luar dan kumpulan pelobi ketika itu di sebuah hotel di Damansara Utama.

“Kita hadir di sana mendengar taklimat dan membincangkan cara bagaimana kita tangani krisis tersebut, kita bersama dengan ahli parlimen Eropah, Daniel Hannan dan kumpulan pelobi ketika itu di sebuah hotel di Damansara Utama.

“Kita di luar ada urusan lain yang juga penting untuk bincang isu serius. Rakyat perlu faham, kita tak pernah main-main macam pembangkang.

“Niat mereka hanya mahu menyusahkan kerajaan kerana mereka kecewa dan sakit hati dengan Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri untuk rakyat. Jadi, mereka mahu menghalangnya.

“Kalau ada benda yang tidak betul ia boleh ditegur sebagai penambahbaikan, bukan dengan cara tidak bertanggungjawab semalam,” ujarnya.

Beliau percaya MP BN lain yang tiada di Parlimen semalam juga ada urusan masing-masing.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 21 November 2017 5:55 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: