Kategori Berita Utama

Kapal tiga nakhoda bakal karam – TPM

15 JULAI: Tindakan pembangkang meletakkan tiga pemimpin untuk mengetuai Pakatan Harapan boleh diumpamakan sebagai sebuah kapal tiga nakhoda yang bakal tenggelam, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, rakyat boleh menilai bagaimana sebuah pakatan mampu bergerak apabila setiap pemimpinnya mempunyai haluan berbeza tanpa adanya pemimpin utama.

“Lazim hukum akal, kapal yang ada tiga nakhoda akan terumbang ambing kerana ada yang mahu ke kanan dan ke kiri, akhirnya kapal akan tenggelam. Pakatan tiga nakhoda akan tenggelam di lautan politik.

“Kita bukan mahu mempertikaikan soal dalaman mereka, tetapi mahu rakyat analisis jika hala tuju berbeza ke mana haluan mereka. Lihat rekod kejayaan Barisan Nasional (BN) yang mampu membela rakyat hasil konsep perkongsian kuasa,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ledang di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Johor, Sabtu.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Ledang, Datuk Hamim Samuri yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar serta 800 anggota perwakilan bahagian.

Pada Jumaat, Pakatan Harapan mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Pakatan Harapan itu dan Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai Ketua Umum, manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan sebagai Presiden.

Tambah Zahid, Tsunami Melayu yang dicanang pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 hanyalah satu perang psikologi semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

“Mereka mengajak orang Melayu wujudkan satu gelombang sokongan kepada mereka walapun tahu sokongan kepada mereka adalah pada tahap minimum.

“Pilihan raya bukan berasaskan kajian tetapi kerja sebenar parti, justeru kita harus memenangi minda dan hati pengundi,” kata Naib Presiden UMNO itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 15 July 2017 9:36 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: