Kategori Berita Utama

Kapten berwibawa pun gagal jika anak kapal sabotaj

13 DIS: Kapten kapal berwibawa sekalipun pasti tidak mampu melabuhkan kapalnya ke dermaga sekiranya disabotaj oleh anak-anak kapal sendiri dengan membocorkannya lalu tenggelam di tengah lautan.

Itulah analogi yang digambarkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Idris Haron sambil menegaskan kejayaan parti itu dalam PRU ke-14 hanya boleh diraih dengan semangat perpaduan dan kesetian akar umbi kepada pucuk pimpinan parti.

“Jangan ada menjengkal rakan seiring, jangan ada musuh dalam selimut, jangan ada tunding jari di antara kita kerana di peringkat akar umbi bahagian atau pun cawangan ada permasalahan dalaman, ia akan menjejaskan keupayaan parti kita,” tegas Ketua Menteri Melaka itu.

Beliau berkata demikian ketika di temui BNBBC.my portal baru-baru ini.

Menurutnya, parti keramat orang Melayu itu perlu segera menyelesaikan beberapa masalah dalaman di peringkat akar umbi bagi mengelak sindrom yang dikejar tak dapat tetapi yang dikendong keciciran pula.

“Kita khuatir kerusi-kerusi yang kritikal disebabkan permasalahan dalaman ini yang tak dapat diselesaikan secara tungtas, maka ia akan memberi harga yang terlalu tinggi kepada parti,” katanya.

Justeru itu, beliau menggesa pendekatan muhasabah diri sendiri perlu diamalkan oleh ahli-ahli UMNO bagi merungkaikan segala permasalahan ini demi parti mencipta kemenangan bergaya pada PRU tahun hadapan.

“Jadi kaedah penyelesaiannya ialah muhasabah diri.

“Bagaimana kita perlu berpegang kepada satu kaedah ‘tactical withdrawal’ , kita dah tahu kalau kita masuk pun tak menang lebih baik kita berundur dan berikan kepada orang yang boleh menang,” ujarnya.

Jelas Idris, ahli UMNO perlu mengenepikan kepentingan peribadi dan mengutamakan perjuangan parti demi meneruskan penguasaan tampuk pemerintahan negara pada PRU ke-14 akan datang.

“Kita dah tahu belum bertarung dah kalah, kenapa kita nak letak juga (calon tidak boleh menang), kita perlu berdegil, jadi konsep wala dimasukkan ke dalam kaedah itu,

“Jadi dengan prinsip wala atau kesetiaan kepada pemimpin saya yakin ia dapat menjadi ramuan mengubati penyakit-penyakit ini dan parti boleh berjaya,” katanya.

Tambah Idris lagi, jika segala permasalahan dalaman dapat diatasi dan kerja kuat yang telah dilaksanakan oleh kepimpinan parti  selama ini, tidak mustahil UMNO akan memimpin Barisan Nasional (BN) memperolehi kejayaan bergaya pada PRU ke-14 tahun hadapan.

“Insyallah saya yakin kali ini UMNO dan BN akan datang dengan wajah yang lebih baik.

“Saya yakin dengan segala usaha yang telah dilakukan oleh Presiden dan Timbalan Presiden parti, kita pasti akan mengecapi kejayaan yang besar pada PRU ke-14 nanti,” ujarnya.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 December 2017 10:30 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: