Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Karpal fail rayu kes hina Sultan Perak

25 FEB : Karpal Singh yang didapati bersalah mengeluarkan perkataan berbaur hasutan terhadap Sultan Perak ketika krisis perlembagaan di negeri itu pada 2009 memfailkan rayuan untuk menterbalikkan keputusan itu.

Karpal yang berkerusi roda memfailkan notis rayuan di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi, Selasa.

Beliau kini perlu menunggu asas penghakiman daripada hakim perbicaraan sebelum menyerahkan petisyen rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Jumaat lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Paduka Azman Abdullah, berkata pihak pembelaan gagal membentuk keraguan munasabah dalam kes pendakwaan.

karpaldap“Pendakwaan sudah membuktikan kes selepas mahkamah ini mendengar keterangan saksi pembela, penghujahan kedua-dua pihak dan penghakiman Mahkamah Rayuan,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 11 Mac untuk menjatuhkan hukuman bagi membolehkan pembela menyediakan mitigasi untuk mendapatkan hukuman lebih ringan.

Karpal, 73, yang juga pengerusi DAP, juga berdepan risiko hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen kerana sabitan kesalahan itu membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun, atau kedua-duanya.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, wakil rakyat akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih  setahun.

Karpal didakwa melakukan kesalahan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur pada 6 Februari, 2009.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu didakwa berkata penyingkiran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah boleh dipersoalkan di mahkamah undang-undang.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorin Badaruddin, berkata Karpal mengeluarkan kenyataan hasutan dan niatnya tidak relevan untuk pendakwaan membuktikan apa-apa.

Noorin berkata, Karpal mempersoalkan prerogatif Sultan Perak mengikut Perlembagaan Perak.

Pengerusi DAP itu pada awalnya dibebaskan tanpa dipanggil membela diri pada Jun 2010.

Pada Januari 2012, Mahkamah Rayuan memerintahkan Karpal memasukkan pembelaannya di mahkamah selepas rayuan pendakwa raya dibenarkan. -bnbbc.my

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 25 February 2014 1:44 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: