Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Karyawan tuntut pihak hina penyanyi berhijab mohon maaf

21 JAN: Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) menggesa pengarah kewangan sebuah syarikat swasta yang mendiskriminasi serta menghina penyanyi Marinatasha Isnariah Mustapar kerana memakai hijab (tudung) pada Ahad malam  memohon maaf dan mengikis pemikiran kolot perkauman daripada mindanya.

Pengerusinya Datuk Freddie Fernandez berkata, pengarah kewangan serta syarikat yang menganjurkan majlis makan malam dengan Marinatasha sepatutnya membuat persembahan bersama band Rufus tetapi dihalang malah dihalau turun dari pentas perlu berbuat demikian (memohon maaf) bagi menyelesaikan isu itu.

Datuk Freddie Fernandez dan Marinatasha menunjukkan laporan polis mengenai kejadian berkenaan yang dibuat oleh Marina pada jam 2 pagi, 19 Januari sebaik pulang dari majlis makan malam itu.

Datuk Freddie Fernandez dan Marinatasha menunjukkan laporan polis mengenai kejadian berkenaan yang dibuat oleh Marina pada jam 2 pagi, 19 Januari sebaik pulang dari majlis makan malam itu.

“Kita menjemput pihak syarikat meminta maaf pada Marinatasha dan isu ini akan selesai. Ini satu peringatan kepada semua pihak agar tidak melakukan diskriminasi kepada wanita yang berhijab.

“Kita ada ramai bintang termasyur yang berhijab di negara ini. Atas persefahaman antara kaum dan agama kita harus memahani dan menghormati pendekatan semua agama untuk ketenteraman dalam negara kita ini,” tegas Freddie yang kesal dengan kejadian yang menimpa Marinatasha.

“Tidak seharusnya berlaku diskriminasi kepada artis wanita berhijab di negara ini. Peluang perlu diberikan kepada semua orang tanpa mengira kaum dan agama,” kata Freddie dalam sidang media mengenai insiden berkenaan di Pejabat Karyawan di Petaling Jaya, Selasa.

Marinatasha, 33, yang turut hadir pada sidang media itu tidak dapat menahan sebak dan menangis ketika diminta menceritakan semula detik penghinaan yang dilaluinya di sebuah lounge di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara.

Menurut Marinatasha beliau sama sekali tidak menyangka seorang wanita yang naik ke pentas pada jam 8 malam sejurus sebelum dia memulakan persembahan rupa-rupanya pengarah kewangan syarikat yang menjemputnya menyanyi.

Lebih tidak disangka ialah wanita berkenaan naik ke atas pentas semata-mata untuk menghalangnya membuat persembahan atas alasan dia memakai tudung dan memintanya turun pentas serta merta.

“Ketika kejadian saya telah berada di atas pentas tapi terpaksa mengemaskan peralatan di hadapan kira-kira lebih 100 tetamu. Anda semua boleh bayangkan bagaimana perasaaan saya pada itu,” cerita penyanyi profesional itu yang hari ini memakai hijab berwarna hitam.

Penyanyi, Marinatasha tidak dapat menahan sebak dan airmata ketika menceritakan semula insiden penghinaan yang tidak disangka boleh dilalui di negaranya sendiri.

Penyanyi, Marinatasha tidak dapat menahan sebak dan airmata ketika menceritakan semula insiden penghinaan yang tidak disangka boleh dilalui di negaranya sendiri.

“Saya rasa amat terhina. Perkara ini tidak seharusnya berlaku di Malaysia. Saya rasa amat malu tapi saya terpaksa akur dan turun (dari pentas,” cerita Marinatasha sambil menahan sebak dan mengesat air matanya.

Namun babak penghinaan terhadap Marinatasha tidak berakhir di situ.

Seorang rakan artis yang turut dijemput membuat persembahan pada majlis itu kemudiannya mempelawa Marinatasha sama-sama menyanyikan dua buah lagu.

Pelawaan yang disambut Marinatasha itu mungkin mencabar ego pengarah kewangan wanita terbabit mengakibatkan Marina terpaksa melalui satu lagi episod penghinaan apabila dia dipanggil ke luar dewan dan dimarahi.

“Saya hanya (mahu) menegakkan hak saya. Kenapa saya tidak boleh menyanyi di atas pentas hanya kerana saya bertudung? Saya sangat kesal dengan apa berlaku,” tegas Marinatasha mempertikaikan kegagalan pegawai syarikat berkenaan membangkitkan isu hijab itu lebih awal ketika membuat tawaran kepadanya atau masa sesi latihan beberapa hari sebelum kejadian.

Syarikat berkenaan bagaimanapun menjelaskan bayaran seperti yang dijanjikan dalam kontrak walaupun Marinatasha tidak dapat membuat persembahan seperti yang sepatutnya.

“Namun bayaran itu dirasakan tidak lagi bermakna berbanding maruah, air muka dan harga diri saya yang bagai dipijak-pijak pada malam itu,” kata Marinatasha.-bnbbc.my

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 21 January 2014 10:00 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: