Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kawalan sempadan lebih berkesan jika tebing Sg.Golok ‘dikosongkan’

9 JUN: Kawasan sempadan Kelantan – Thailand terutama sepanjang tebing Sungai Golok, perlu ‘dikosongkan’ daripada sebarang penempatan penduduk bagi membolehkan pasukan keselamatan mengawal sempadan dengan lebih berkesan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum berkata, ketika ini, penduduk di sepanjang Sungai Golok dilihat tidak mempedulikan kewujudan zon penampan mahupun rizab sungai apabila menggunakan kawasan itu untuk membina kediaman mereka.

Katanya, situasi itu secara tidak langsung menyukarkan pasukan keselamatan membuat rondaan dan pengawasan lebih ketat terhadap sempadan negara.

“Ada rumah, dapurnya pun dibina di atas Sungai Golok. Ini menyebabkan kekangan untuk anggota melaksanakan tugas mengawal keselamatan sempadan. Malah kita dapati ada kawasan tertentu dimiliki orang persendirian.

“Sehubungan itu saya cadangkan supaya kerajaan cari jalan pindahkan penduduk terbabit, ambil semua tanah di sepanjang sempadan dan jadikannya sebagai kawasan larangan,” katanya.

Beliau ditemui media ketika mengadakan lawatan di sekitar kawasan sempadan di sepanjang Sungai Golok serta berbuka puasa bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pos To’O, Rantau Panjang, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima 2 Divisyen, Mejar Jeneral Mohd. Ramli Jaafar; Panglima Briged Kelapan Infantri, Brigedier Jeneral Nazari Abd. Hadi serta Panglima Briged Ke-30 Infantri, Brigedier Jeneral Datuk Ahmad Tajuddin Abdul Ghani.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 June 2017 11:40 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: