Kategori Berita Utama

Kayveas tetap mahu tandingi kerusi milik MIC

29 MEI: Presiden MyPPP Tan Sri M Kayveas bertegas tidak akan berganjak dengan kemahuannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Mungkin ada kata-kata parti ini tidak ada kerusi dan perlu menyokong calon lain.

“Tetapi itu tidak akan berlaku, dan MyPPP tidak akan berganjak daripada keputusannya, saya tetap bertanding dan menang di Cameron Highlands dan akan masuk Kabinet,” kata beliau semasa berucap dan merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MyPPP Bukit Bintang 2017 di Dataran Merdeka, Isnin.

Turut hadir ialah Pemuda MCA dan UMNO Bahagian Bukit Bintang dan Ketua Pemuda MyPPP Kebangsaan, Sathiah Sudakaran.

Kerusi berkenaan kini disandang oleh bekas Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel dan merupakan kerusi tradisi untuk parti itu sejak PRU-12.

Pada ketika ini, selain Kayveas, Ketua Wanita MIC,  Datuk Mohana Muniandy juga dilaporkan menyatakan kesanggupan untuk bertanding di Cameron Highland.

Jelas beliau, kini MyPPP sudah mempunyai kekuatan dan berupaya bertanding di semua bahagian pada pilihan raya umum akan datang.

“Masanya sudah tiba untuk memastikan pemimpin kedua mewakili masyarakat India dari parti lain menganggotai kabinet.

“Saya akan pastikan misi itu direalisasikan kerana mahu memastikan permasalahan yang dihadapi masyarakat India dan rakyat secara umum di peringkat akar umbi memerlukan penyelesaian serius,” tambah beliau.

Selepas PRU-13, MyPPP hanya mempunyai seorang wakil dalam kabinet iaitu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan yang memegang jawatan berkenaan selepas dilantik sebagai Ahli Dewan Negara.

Sementara itu, Kayveas meminta barisan pemuda komponen Barisan Nasional termasuk MyPPP mengembleng tenaga dan mendukung amanat Perdana MenteriDatuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita tidak mahukan lakonan dan drama politik semata-mata memenangi rakyat dalam PRU sahaja.

“Kami mahu berjuang, menangani masalah dan mensejahterakan rakyat secara serius dengan semangat 1Malaysia dan BN terus menjadi pilihan tetap selama-lamanya di negara ini,” tegas beliau.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 29 May 2017 8:15 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: