Kategori Berita Utama

KDN beri amaran batal permit syarikat kawalan keselamatan

24 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membatalkan terus permit syarikat tempatan yang membekalkan pengawal keselamatan kalangan warga asing tanpa mempunyai dokumen yang sah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata syarikat terbabit perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“KDN amat bertegas terhadap syarikat kawalan keselamatan yang mengambil pekerja tanpa dokumen atau dokumen palsu atau mempunyai elemen jenayah, dibatalkan terus permit perlesenannya,” tegas Zahid.

Beliau berkata demikian ketika  menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail semasa sesi pertanyaan-pertanyaan menteri, di Parlimen, Selasa.

Manan bertanyakan sama ada KDN akan mengkaji semula prosedur pengambilan pengawal keselamatan yang ditetapkan kepada syarikat pengawal keselamatan susulan penahanan tujuh orang pengikut Abu Sayyaf yang dikesan bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sabah.

“KDN akan memperketatkan prosedur pengambilan pengawal keselamatan terutamanya yang menggunakan pekerja asing.

“Selain itu pihak polis juga melakukan proses saringan terlebih dahulu bagi memastikan pengawal keselamatan tidak mempunyai elemen-elemen jenayah,” jelasnya Zahid yang juga Menteri KDN.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa tindakan kerajaan Filipina mempertingkatkan usaha memerangi kumpulan militan terutamanya Kumpulan Abu Sayyaf di negara itu menyebabkan mereka melarikan diri dan menyusup masuk ke Malaysia melalui Sabah

“Sehubungan dengan itu, kerajaan sudah mengarahkan semua agensi penguatkuasaan terutamanya di sempadan Filipina untuk meningkat kawalan keselamatan,” kata Ahli Parlimen Bagan Datoh itu.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 October 2017 11:33 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: