Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kebocoran data peribadi: Permintaan rakyat diutamakan bukan pembangkang

14 MAC: Kerajaan akan terus memberi penerangan kepada lebih 30 juta rakyat Malaysia tentang kebocoran data peribadi meskipun ia masih menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pembangkang.

Ini kerana menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, rakyat adalah prioriti yang kerajaan harus pelihara daripada jenayah siber ini, bukannya memenuhi permintaan mereka dengan mengikut setiap arahan pemimpin pembangkang.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang Kebocoran data peribadi nombor telefon mudah alih 46.2 juta pelanggan yang dilaporkan pada 18 Oktober 2017.

“Walaupun perkara itu sedang dalam siasatan, tapi dari pihak kita memang kita membantu antaranya memanggil pihak telco, memperkasakan sistem, keluarkan garis panduan, dan untuk makluman, baru-baru ini ada pembangkang tak puas hati bila kita beri penerangan bahawa kata laluan perlu ditukar sentiasa, kalau mereka taknak terima tak  apa, tapi kita ada 30 juta pengguna yang harus diberi penerangan, had perkongsian maklumat, tukar kata laluan dan kerana kita sering gunakan free wifi lupa tukar kata laluan, ini menyebabkan data kita tercuri.

“Apa jua kita rasakan betul sering disensasikan pembangkang dan mereka cakap tak betul, tapi sedangkan kerajaan dah melakukan pelbagai aktiviti data,” katanya bagi menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Azeez Abdul Rahim di Dewan Rakyat, Rabu.

Azeez ketika soalan tambahannya turut mengkritik tindakan pembangkang yang kononnya membidas tindakan kerajaan tidak efisien dalam menangani isu tersebut, namun dalam masa yang sama turut menyebarkan berita palsu terhadap dirinya sendiri berhubung isu terowong bawah laut di Pulau Pinang oleh Ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng.

“Dalam dewan mereka (pembangkang) akan memperjuangkan apa sahaja, cakap tak serupa bikin, di luar mereka orang pertama yang menghasut dan memfitnah, tuduh dan ini terbukti jelas apabila Bagan (Lim Guan Eng) enggan minta maaf, tegakkan benang yang basah, saman tetap saman!” tegasnya.

Mengulas lanjut tentang kebocoran data peribadi yang berlaku itu, Jailani turut berkata bahawa siasatan masih dijalankan dan beberapa saksi telah dipanggil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan hasil siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diambil tindakan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 March 2018 11:53 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: