Kategori Berita Utama

Kejayaan UMNO bertunjangkan 4 faktor, asas perjuangan tidak ditinggalkan

11 MEI: UMNO kekal berkuasa dan menjadi sebuah parti yang kuat di Malaysia disebabkan beberapa faktor yang  menjadi tunjang kejayaan parti itu selama ini.

Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, empat faktor yang menyebabkan UMNO kekal menjadi sebuah parti pilihan rakyat Malaysia khususnya orang melayu kerana tidak pernah meninggalkan asas perjuangan parti itu.

“Kita tidak pernah tinggalkan asas perjuangan parti kita yang berpaksi kepada Islam, Melayu Bumiputra dan negara.

“Islam diperkasa oleh UMNO, Melayu dimartabatkan oleh UMNO, dan negara semakin berjaya atas sebab UMNO yang tidak pernah kita tinggalkan pegangan ini sejak merdeka,” tegasnya.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapannya sempena sambutan Hari Ulang Tahun UMNO ke 71, di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Khamis.

Turut hadir bekas Presiden UMNO, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan semua ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional; Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC Datuk Seri S.Subramaniam dan Presiden GERAKAN Datuk Seri Mah Siew Keong.

Keduanya, Najib menjelaskan, UMNO sentiasa meletakkan kepentingan semua rakyat Malaysia daripada kepentingan peribadi diri sendiri.

“Kita meletakkan perjuangan kita untuk rakyat dari dahulu sehingga sekarang, kita berjuang bukan untuk Melayu sahaja, bahkan kita berjuang untuk semua rakyat Malaysia.

“Kita majukan negara untuk semua rakyat Malaysia, Kita jaga perpaduan untuk rakyat Malaysia, kita jaga keselamatan negara juga untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, faktor ketiga kejayaan UMNO ialah sentiasa relevan dalam apa jua keadaan dan peredaran zaman.

“Kita sentiasa relevan kerana dasar perjuangan yang kita amalkan adalah sesuai ikut peredaran zaman. Sama ada menentang Malayan Union, pasca kemerdekaan, mahupun kita menuju 30 tahun lagi kepada TN50, kita sentiasa relevan dan menyesuaikan ikut peredaran zaman.

“UMNO sentiasa relevan dan sekarang kita memacu negara ke TN50 dan bercita cita menjadi 20 negara maju di dunia nanti,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, kerana visi dan tindakan UMNO merupakan faktor yang menyumbang kepada kekuatan UMNO sehingga kini.

“Kerana visi dan tindakan kita. Wawasan tanpa tindakan adalah sia sia sahaja, tindakan tanpa wawasan adalah cacamarba. Kita tidak sama seperti penbangkang yang mempunyai wawasan lain lain,” sindir Najib.

Justeru itu, Najib menyeru kepada semua ahli UMNO untuk mempertahankan parti keramat Melayu ini sehingga ke hujung nyawa.

“Marilah kita pertahankan UMNO sehingga ke titisan darah yang terakhir.

“UMNO ditubuhkan atas keringat, air mata dan sumpah setia orang-orang Melayu. Meskipun sudah 71 tahun berlalu, semangat yang ditunjukkan orang terdahulu perlu dikekalkan dan diteruskan sehingga hari ini. UMNO perlu dipertahankan!

“Hidup Melayu! Laung Najib dan terus disambut puluhan ribuan ahli UMNO di stadium.

Sebelum itu, ketibaan Najib ditunggu lebih 100,000 ahli dan para kepimpinan UMNO dari seluruh negara.

Sejurus tiba, Najib bersama Isteri Datin Seri Rosmah Mansor telah mengelilingi stadium dan melambai-lambaikan tangan kepada ahli UMNO yang hadir.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 May 2017 11:09 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: