Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kejayaan UTAR bukti MCA komited pendidikan masyarakat Cina

11 NOV: Pencapaian membanggakan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) meraih pencapaian peringkat antarabangsa membuktikan MCA komited dalam aspek pembangunan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi melahirkan graduan terbaik dalam kalangan masyarakat Cina.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ini termasuk berjaya menduduki ranking dunia ke-14 dalam senarai Young University yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2017 baru-baru ini.

“Kita bangga dengan kejayaan UTAR yang telah menghasilkan lebih 210,000 graduan dan kita akan pertingkatkan kualiti pendidikan ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Tiong Lai yang juga menteri pengangkutan berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival MCA Teguh Bersama dengan masyarakat Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Thung Hon Tanjung Tualang di Kampar hari ini.

Selain itu, katanya, UTAR telah mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) bersama dua universiti terkemuka dari luar negara iaitu Universiti Beijing, China dan Universiti Tsing Hua, Taiwan untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di universiti itu.

Dalam pada itu, Tiong Lai menyeru komuniti Cina agar menolak pembangkang dan memberi sokongan padu kepada MCA yang merupakan komponen Barisan Nasional supaya isu-isu dihadapi kaum itu dapat diselesaikan segera di peringkat atasan.

Katanya kaum Cina kini juga dilihat sudah sedar bahawa wakil rakyat pembangkang yang dipilih pada pilihan raya umum lepas gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

“Oleh itu penting buat kita pastikan MCA diberikan mandat dan kekuatan untuk bawa komuniti Cina bersama meniti ke arus pembangunan negara,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 November 2017 4:10 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: