Kategori Berita Utama

Kekuatan gajah pada ‘thumbikei’, kekuatan manusia pada ‘nambikei’ – Najib

Rakyat pelbagai kaum di negara ini sekurang-kurangnya perlu berpegang kepada dua perkara asas bagi memastikan Malaysia terus kekal harmoni dalam apa jua keadaan.

Pertama, mereka perlu saling bekerjasama dan bermuafakat bagi memastikan negara mampu menghadapi apa jua cabaran yang datang.

“Yang kedua beri ruang supaya kekayaan budaya kita menyerlah agar ia dapat dilihat sebagai satu kekuatan dan pelancong luar negara dapat melihat Malaysia sebagai negara kaya dengan kebudayaan untuk dipertontonkan kepada dunia,” itu permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2013 di Dataran Bandaraya Johor Baharu, Johor malam Ahad.

Kehadiran Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memeriahkan lagi Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2013 peringkat kebangsaan di Johor Baharu pada Sabtu.

Kehadiran Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor memeriahkan lagi Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2013 peringkat kebangsaan di Johor Baharu pada Sabtu.

Sehubungan itu, Najib menyeru rakyat, termasuk masyarakat India untuk memperkukuhkan persefahaman dan kerjasama dengan kerajaan, yang sedia terjalin selama ini berasaskan ‘nambikei’ (kepercayaan).

“Kerjasama antara kita akan terus memastikan kualiti hidup yang lebih baik untuk generasi masa kini dan yang akan datang. Kalau kekuatan gajah terletak pada ‘thumbikei’ atau belalainya, kekuatan seseorang manusia terletak pada ‘nambikei’ atau kepercayaannya,” kata Perdana Menteri.

Najib berkata, kerajaan komited untuk merealisasikan segala aku janji yang diikrarkan untuk pembangunan masyarakat India semasa pilihan raya umum ke-13.

Komitemen itu jelas dapat dlihat melalui beberapa inisiatif yang diumumkan dalam Bajet 2014.

Ia termasuk peruntukan tambahan RM50 juta untuk pembangunan infrastruktur sekolah Tamil, selain RM100 juta lagi diperuntukan bagi meningkatkan pencapaian pembelajaran di sekolah-sekolah Tamil.

Sebanyak RM50 juta lagi disediakan untuk Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Tekun Nasional serta pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Sebelum ini pun, kata Najib, kerajaan telah memberi perhatian khusus terhadap banyak bidang yang meliputi kehidupan masyarakat India.

“Contohnya sejak 2009 hingga 2013 kerajaan memperuntukkan RM560 juta bagi pembangunan infrastruktur sekolah-sekolah Tamil seluruh negara.

“Saya amat kagum apabila dimaklumkan dalam pembentangan Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil bahawa sejak lima tahun lalu jurang pencapaian dalam kalangan SJKT dikurangkan 50 peratus dan jurang antara SJKT dengan sekolah kebangsaan dan SJKC adalah kurang daripada empat peratus,” kata Najib.

Bidang keusahawanan pula menyaksikan kelahiran ramai usahawan baharu daripada kaum itu.

Sehingga Oktober tahun ini, lebih 19,000 usahawan India menerima bantuan kewangan berjumlah RM227 juta.

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2013 peringkat kebangsaan itu dianjurkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Turut hadir ialah menterinya, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel serta Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dianggarkan lebih 30,000 orang dari pelbagai lapisan umur hadir pada majlis itu yang dianjur dengan kerjasama kerajaan negeri Johor itu.

Ia diadakan dengan objektif menyemarakkan semangat 1Malaysia dengan memupuk perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat berbilang kaum, menjalin hubungan mesra di antara pemimpin dengan rakyat dan mengetengahkan tradisi menyambut Deepavali selain menjadi wadah pelancongan.-9/11/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 10 November 2013 12:38 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: