Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kekuatan UMNO terletak pada sokongan rakyat

9 MEI: UMNO perlu sentiasa sedar kekuatannya sejak penubuhannya pada 1946, ditentukan oleh sokongan rakyat secara keseluruhannya.

Naib Presidennya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, skop parti juga disifatkan lebih besar dan merangkumi mereka yang bukan ahli.

“Bagaimanapun, kita kena kembali kepada rakyat, ahli UMNO sahaja tidak cukup untuk menentukan kelangsungan parti oleh rakyat di luar sana.

“Sebab itu usaha hendak jadikan UMNO inklusif melibatkan seramai mungkin mereka yang akan bersama-sama kita,” katanya semasa sidang media menjelang Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71, Isnin.

Sebelum ini, presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, UMNO sebagai parti tunjang kepada kepemimpinan negara, perlu mengamalkan dasar inklusif iaitu membela nasib semua kaum, etnik dan sub etnik di seluruh negara.

Dalam pada itu, Hishammuddin menegaskan bahawa ulang tahun UMNO seharusnya menyuntik keinsafan mendalam bagi semua ahli serta pemimpin parti secara keseluruhannya.

“Orang UMNO jangan ambil mudah, UMNO merupakan hak bangsa kita dan kita kena tahu tanpa sokongan rakyat, kekuatan UMNO tidak bermakna dan kita bimbang satu masa nanti ia tidak dapat dipertahankan.

“Saya harap orang ramai dapat menilai sendiri konsistensi UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk diterjemahkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, itu ujian nanti,” ujarnya.

Hishammuddin turut memberitahu, UMNO perlu bekerja kuat untuk memastikan sokongan golongan muda tidak berubah.

“Apa sahaja tuduhan, mereka hanya mendapat satu cerita sahaja dan itu mempengaruhi mereka untuk tidak menyokong kita.

“Semua itu mesti didekati, konsistensi kejayaan kita selama ini, harapan kita ada perancangan dan ia tidak berkisar puak-puak tertentu sahaja dalam transformasi supaya ia sentiasa relevan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 9 May 2017 2:50 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: