Kategori Berita Utama

Kelantan sahut seruan bentang “Private Bill” Hudud di Parlimen

2 APR: Kerajaan negeri PAS Kelantan akan membawa satu rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan dengan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 ke Parlimen dalam masa terdekat.

Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri pada Rabu sebagai menyahut kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa Kerajaan Pusat bersedia bersama membantu jika kerajaan negeri Kelantan bersedia melaksanakan undang-undang berkenaan.

MB KELANTAN PC HUDUD“Kerajaan Kelantan dengan ini akan menyiapkan satu rang undang-undang persendirian (private bill) yang akan dibawa ke mana-mana sidang Parlimen yang terdekat oleh salah seorang ahli Parlimen bukan kerajaan bagi mendapat kebenaran untuk Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

“Satu rang undang-undang persendirian (private bill) juga akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Syariah Negeri Kelantan bagi membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukan dalam Enakmen Hudud,” kata Ahmad pada sidang media, Rabu.

Pada 28 Mac lalu, Jamil Khir menegaskan di Dewan Rakyat, sekiranya kerajaan negeri Kelantan sudah bersedia melaksanakan hukum Hudud, kerajaan Pusat turut bersedia bersama-sama.

“Terpulang kepada ahli-ahli Yang Berhormat untuk membawa usul persendirian bagi membentang Rang Undang-Undang daripada ahli yang bukan ahli kerajaan di Dewan Rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan titah ucapan Yang Di Pertuan Agong.

Menjawab soalan ahli parlimen PAS Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengenai reaksi kerajaan Pusat terhadap Enakmen Jenayah Syariah di negeri Kelantan, Jamil Khir menegaskan, ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) atau UMNO telah memberi sokongan kepada enakmen itu DUN Kelantan.

Menurut Ahmad, keputusan kerajaan negeri untuk membentangkan rang undang-undang persendirian itu dibuat kerana sebahagian besar dari kesalahan jenayah hudud dan qisas seperti mencuri, merompak, merogol, mencedera dan membunuh terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code), dan begitu juga agensi-agensi penguatkuasaan atau pelaksana seperti polis dan jabatan penjara.

“Kerajaan Kelantan sedia memberi jaminan bahawa sekiranya tiada halangan dari Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada dua undang-undang persendirian ini dibentang dan diluluskan di Parlimen, Insha-Allah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 paling lewat akan berkuatkuasa di Kelantan pada tahun 2015,”

Berikut adalah kenyataan penuh menteri besar Kelantan itu.-bnbbc.my

Statement MB Kelantan Hudud

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 2 April 2014 11:32 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: