Kategori Analisa Isu Semasa

ZAHID:KELAPA TINGGI DIPANAH PETIR DULU

Tentu sukar bagi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi apabila digembar gemburkan berada kedudukan paling atas atau calon favorite Naib Presiden UMNO dalam pemilihan parti 19 Oktober ini.

Mungkin bagi sesetengah orang, dengan telahan begitu, mereka boleh goyang kaki kerana fikir kerusi jawatan Naib Presiden sudah dalam genggaman.

Namun, bagi Menteri Dalam Negeri itu, apa yang diuar-uarkan mengenai peluang beliau menang mudah berbanding lima calon lain yang sama-sama bertanding jawatan tersebut, bukan sesuatu yang boleh beliau raikan.

naib6

Zahid mahu dilihat sama rata dengan calon-calon lain bagi jawatan Naib Presiden.

Anologi Zahid mengenai kedudukan beliau mudah difahami.

Katanya, kalau pokok itu paling tinggi di kalangan pokok-pokok lain, yang akan kena petir pokok itulah dulu.

“Saya tahu saya dari Bagan Datoh…banyak pokok kelapa. Tanam sama saja tetapi kebetulan ada satu pokok itu tinggi, jadi kalau kena petir pokok itulah. Jadi saya harap saya tak jadi pokok yang terlalu tinggi, saya mahu sama rata dengan yang lain-lain,”

“Pesan saya pilihlah yang terbaik dikalangan yang baik-baik. Harapan saya diberi kepercayaan semula supaya kesinambungan asas kepimpinan dapat diteruskan,” katanya dalam program Sembang Utusan Online di Pejabat Utusan Melayu pada Khamis.

Menurut Zahid, jika ingin bertanya yang baik, tanyalah pada kawan-kawan bukannya dengan musuh kerana bagi musuh apa yang baikpun, mereka kata tidak baik.

Terdahulu, beliau menolak dakwaan apabila beliau, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal sama-sama mengemukakan borang pencalonan pada hari penamaan calon kononnya mereka dalam satu pakatan.

Ada pihak mendakwa UMNO bersikap retorik dengan membenarkan sesiapa yang layak bertanding tetapi dalam masa sama ujud dakwaan supaya ketiga-tiga penyandang dikekalkan oleh perwakilan.

Menjawab soalan ini, Zahid berkata, tiada usaha menyempitkan pemilihan.

Sebaliknya ujar beliau, itu adalah kerana kesefahaman mereka sebagai penyandang jawatan bukannya kesepakatan.

Katanya, peluang semua calon termasuk Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Ali Rustam dan Datuk Mukhriz Mahathir untuk menang terbuka kerana jentera kempen masing-masing berjalan macam biasa.

Beliau percaya, perwakilan sudah menetapkan difikiran masing-masing untuk menentukan siapa layak sebagai Naib Presiden.

Bagaimanapun, Zahid menegaskan pertembungan  antara beliau dan rakan-rakan lain merupakan pertandingan persahabatan.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan pihak tertentu kononnya ‘garang’ membanteras jenayah kerana pemilihan parti.

“Saya lakukan pembanterasan jenayah akan tamat 19 Oktober selepas tamat pemilihan. Saya bagitahu, 20 Oktober dan ke atas saya akan teruskan usaha banteras jenayah hingga peringkat minimum,” katanya.

Tugas itu katanya, tidak terbatas kepada jenayah berat, pelacuran, judi haram, pengedaran dadah tetapi penyalahgunaan kedudukan dalam agama seperti gerakan Syiah mahu menarik pelajar IPTA menyertai mereka.

“Dari aspek keselamatan, ini dikhuatiri boleh memecahkan umah. Lagipun, majlis Syiah ini haram seperti didedahkan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,” tegasnya.-11/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 October 2013 3:12 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: