Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Keluar parti: BN bersifat terbuka, hormati keputusan

13 JUN: Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka dan menghormati keputusan empat parti di Sarawak yang keluar daripada gabungan itu.

Penolong Setiausaha Wanita BN, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata sungguhpun keputusan terbabit memberi kesan terhadap BN secara keseluruhan, gabungan itu menghargai cara berpolitik matang.

Bagaimanapun, pihaknya tidak berselindung dan menzahirkan kesedihan atas perkara itu kerana ia memberi kesan kepada BN di Dewan Rakyat, apatah lagi selepas Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan akan bekerjasama dengan kerajaan.

“Walaupun pahit dan rasa dipinggirkan dalam keadaan yang sukar ketika ini, BN akan terus mencari kekuatan untuk bangkit semula.

“Kita sedar akan impak keputusan ini kepada kedudukan BN sebagai pembangkang di Dewan Rakyat, maka Wanita BN meminta pucuk kepimpinan parti untuk membincangkan kaedah terbaik untuk membela kepentingan rakyat kelak,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Semalam Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) keluar dari BN dan keempat-empat parti itu mewujudkan gabungan baharu, GPS.

Dalam perkembangan yang sama, Noraini berkata, situasi itu turut membentangkan cabaran kepada UMNO yang sedang memfokuskan ke arah kebangkitan semula parti bermula dengan pemilihan barisan kepimpinan baru.

“Bagaimanapun saya percaya ia tidak akan mematahkan semangat ahli-ahli UMNO dan saya menyeru semua ahli-ahli parti supaya turut menerima secara baik keputusan Sarawak itu.

“Kepada rakan-rakan Wanita BN di Sarawak, saya berharap hubungan baik dan akrab yang kita jalinkan selama ini dapat diteruskan walaupun dalam landskap politik yang berbeza kini.

“Walaupun kita tidak lagi diikat dalam kesatuan BN, matlamat kita masih sama iaitu menjalankan amanah membela rakyat,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 June 2018 6:38 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: