Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kem. Kesihatan tetap pertahan longgar syarat lulus BM

2 JULAI: Kementerian Kesihatan mempertahankan keputusan melonggarkan syarat kelayakan lulus Bahasa Melayu (BM) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kelonggaran itu adalah bagi memberi keadilan kepada graduan perubatan lantikan kontrak yang tidak menduduki peperiksaan BM semasa SPM.

Antaranya, katanya, adalah graduan perubatan yang  belajar di luar negara, menduduki peperiksaan O-Level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Kebangsaan di universiti serta beberapa kategori lain.

“Jika graduan perubatan tidak dapat menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib itu, mereka tidak dibenarkan sama sekali mengamal sebagai doktor perubatan di Malaysia.

“Kementerian Kesihatan prihatin bahawa ini tentu akan menjejaskan masa depan mereka setelah berusaha sedaya upaya menjalani jurusan Perubatan di universiti.

“Kelonggaran syarat kelayakan lulus BM peringkat SPM untuk lantikan kontrak Pegawai Perubatan Gred UD41 ini membantu melancarkan lantikan kontrak bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM,” katanya dalam kenyataan kedua yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan awalnya memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju memberi kelonggaran syarat kelayakan lulus BM peringkat SPM bagi lantikan kontrak ke jawatan pegawai perubatan Gred UD41.

Graduan perubatan yang dilantik secara kontrak sebagai pegawai perubatan UD41 perlu menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib selama dua tahun.

Akta Perubatan 1971 mewajibkan mereka menjalani dan melengkapkan latihan siswazah dengan kompeten sebelum diberi pendaftaran penuh sebagai pegawai perubatan bertauliah.

Dr Noor Hisham berkata, kelonggaran itu bukan perkara baharu kerana lantikan kontrak bagi pegawai perubatan dan pakar perubatan bukan warganegara juga tidak memerlukan kelulusan BM SPM.

Katanya, kelonggaran sama juga pernah diberikan bagi lantikan pegawai perubatan ke perkhidmatan awam ketika berlaku kekurangan kritikal sebelum ini, namun ia diperketatkan semula bagi lantikan tetap awal tahun ini.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 2 July 2017 10:07 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: