Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kematian Thaqif: Kem. Kesihatan masih menunggu laporan

6 MEI: Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan kenyataan berhubung punca kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi sebaik sahaja menerima laporan perubatan menyeluruh dari Hospital Sultan Ismail (HSI).

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam menjelaskan, setakat ini belum ada perkembangan terbaru dan pihaknya masih belum menerima laporan perubatan tersebut dari pihak HSI.

“Tiada perkembangan terbaru. Laporan belum siap lagi, selepas segala kajian dan siasatan dilakukan pihak HSI akan bagi.

“Pihak kementerian akan memberi kenyataan sebaik sahaja terima laporan perubatan tersebut,” jelasnya.

Subramaniam juga menjelaskan laporan bedah siasat akan mengambil masa kira-kira dua minggu untuk siap bagi mengetahui punca kematian pelajar tahfiz yang berusia 11 tahun itu.

“Setakat ini kita tidak boleh buat kenyataan dan kena tunggu laporan perubatan siap.

“Saya perlu mendapatkan laporan perubatan penuh daripada mereka yang merawatnya sebelum saya boleh memberitahu apa-apa,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Wanita MIC Bahagian di Wisma Manikavasagam, Kuala Lumpur, Sabtu.

Difahamkan, laporan perubatan ini penting bagi mengetahui punca sebenar kematian Mohamad Thaqif Amin sama ada didera atau mempunyai masalah kesihatan lain.

Mohamad Thaqif Amin pelajar tahfiz di Madrasah Al Jauhar Kota Tinggi menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 26 April lalu selepas 8 hari bertarung nyawa.

Sebelum ini kisah Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru pada 19 April menjadi tular di media sosial selepas dia dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden madrasahnya.

Selepas kedua-dua belah kakinya dipotong, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku  dan  dijadualkan dipotong dari jari hingga bawah siku, namun pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil dan akhirnya meninggal dunia.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 6 May 2017 9:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: