Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Kemuka bukti saintifik terapi ozon bermanfaat untuk kesihatan

4 MEI: Pihak yang terlibat perlu mengemukakan bukti saintifik kukuh kepada Kementerian Kesihatan yang menunjukkan terapi ozon bermanfaat untuk kesihatan sekiranya mahu kementerian itu mengiktiraf rawatan tersebut.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata Pada masa ini, Kementerian Kesihatan berpendirian bahawa terapi ozon adalah sejenis rawatan yang tidak diiktiraf dan cara rawatan tersebut dilihat mempunyai risiko malah terdapat kes kehilangan nyawa mereka yang mendapatkan rawatan tersebut.

“Kalau mereka bawa bukti sains tunjukkan kepada kita dan (bukti) itu diterima jawatankuasa teknikal dan pakar kementerian, selain bukti itu mengikut prosedur sains ditetapkan, ini kita terima lah.

“Jika kebanyakan komuniti perubatan menerima ini sebagai suatu jenis rawatan yang mempunyai bukti dari sudut sains dan (peralatan digunakan) didaftarkan dengan agensi berkuasa, (pengiktirafan) itu boleh dibuat, tetapi sampai sekarang tiada bukti dan tidak didaftar,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Konvensyen Panel Penasihat Klinik Kesihatan Peringkat Kebangsaan Ke-8 di Bandar Hilir, Melaks.

Semalam, Dr Subramaniam berkata kementerian itu mengharamkan rawatan terapi ozon dan mengarahkan semua premis perniagaan termasuk klinik dan salun kecantikan agar berhenti menawarkan perkhidmatan itu serta merta.

Beliau berkata penilaian teknologi kesihatan yang dijalankan Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan (MaHTAS) mendapati tiada bukti saintifik yang menyokong sebarang manfaat terapeutik penggunaan terapi ozon bagi mana-mana penyakit.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata pihaknya akan membuat pemantauan ketat terhadap isu itu berdasarkan dua faktor iaitu mesin dan bahan ubatan yang digunakan dalam rawatan terapi ozon itu.

“Mesin yang digunakan mesti didaftarkan di bawah Akta Peranti Perubatan dan bahan yang digunakan itu cuma boleh digunakan oleh pengamal perubatan seperti ubat mencairkan darah (heparin), saya harap pihak yang terlibat tidak teruskan rawatan ini tanpa pengiktirafan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Kesihatan mahu melaksanakan lebih banyak program pencegahan penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis dan sakit jantung bagi membanteras penyakit itu sebelum ia mendatangkan mudarat kepada rakyat.

“Dengan program baharu ini, kita akan lakukan banyak saringan kesihatan kepada rakyat dan kesan penyakit ini di peringkat awal, kemudian beri rawatan awal dan nasihatkan mereka bagaimana mengamalkan gaya hidup sihat, kita tidak mahu (kesihatan) mereka sudah teruk baru hendak dapatkan rawatan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 4 May 2017 4:27 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: